Jumaat, 2 September 2016 | 7:14pm

Artis, pereka popular meriahkan Johor Fashion Week

Penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza pada majlis rumah terbuka Sesuci Lebaran anjuran Siti Nurhaliza Productions dan Global Station di Hotel JW Marriot. - Foto NSTP/Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Artis dan pereka fesyen popular bakal menyemarakkan penganjuran Johor Fashion Week (JFW) yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada, Johor Bahru, pada 9 hingga 11 September ini.

Antara nama besar dalam bidang seni dan rekaan yang akan memeriahkan acara terbabit termasuk Shaheizy Sam, Nur Fazura, Mawi, Ajak Shiro, Qudyn, Datuk Shah Rezza, Ezuwan Ismail dan Calvin Thoo.

Mengetengahkan konsep ekspo, program berkenaan muncul sebagai minggu fesyen pertama yang bakal diadakan di selatan tanah air.

Menurut kenyataan yang dikirimkan kepada BH Online, acara itu bukan sekadar pertunjukan fesyen, malah ekspo tiga hari yang turut mengetengahkan bidang kecantikan, perhiasan diri dan hasil seni dengan menampilkan ramai bakat baharu dalam dunia terbabit.

Bertujuan mewujudkan revolusi industri fesyen Johor, acara itu menerapkan ideologi sebenar berkaitan rekaan di negeri terbabit dalam program yang disusun.

Dalam membentuk industri fesyen lebih mengesankan, JFW turut mengalu-alukan pembabitan pusat pengajian tinggi, terutama daripada jurusan berkaitan, selain usaha sama antara industri di negeri terbabit dengan pihak luar.

JFW turut menjadi pentas peragaan pelajar projek akhir, yang menyaksikan mereka bakal menggunakan model, pentas, jurusolek dan jurugambar profesional bagi mempersembahkan kualiti terbaik.

Institusi pengajian yang mengambil bahagian termasuk Kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Komuniti Pagoh, Kolej Kemahiran Mara, Politeknik Ibrahim Sultan dan Giatmara.

JFW juga menjadi pentas peragaan untuk pereka fesyen antarabangsa dari Singapura, Indonesia, Brunei dan beberapa negara Asia lain.

Penganjuran program ini diharap dapat membantu membawa industri fesyen, khususnya di Johor, untuk melangkah lebih jauh.

Berita Harian X