Jumaat, 2 September 2016 | 10:41pm

MHL 2016 - Sapura terus kukuh cengkaman

Pemain Sapura, Gurbaj Singh (kiri) cuba melepasi asakan pemain TNB, Arif Sabron (dua kanan) pada perlawanan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin
Pemain Sapura, Gurbaj Singh (kiri) cuba melepasi asakan pemain TNB, Arif Sabron (dua kanan) pada perlawanan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Sapura terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Premier Hoki Malaysia (MHL)-TNB 2016 apabila berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Lembah Pantai, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Yahya Atan meraih kemenangan keempat daripada lima perlawanan.

Yahya nyata gembira dengan kemenangan itu dan berharap barisan pemainnya dapat meneruskan rentak kemenangan selepas ini.

"Kemenangan ini sangat bagus kerana ia memberi keyakinan kepada barisan pemain untuk bertemu lawan sama pada perlawanan seterusnya Ahad ini.

"Walaupun di hujung permainan barisan pemain saya nampak tertekan kerana lawan mahu mencari gol, mereka tetap tenang mengawal situasi itu.

"Apapun, kemenangan ini amat bagus untuk meningkatkan keyakinan barisan pemain.

"Harap barisan pemain saya dapat terus mempamerkan aksi lebih baik dan konsisten pada pusingan kedua liga bermula Ahad ini," katanya selepas tamat perlawanan.

Sapura di depan pada minit ke-12 selepas Dangerous Lee menjaringkan gol padang.

Minit ke-19 menyaksikan Sapura mendahului TNB 2-0 selepas Muhammad Azrul Hasbullah berjaya mencari ruang untuk menjaringkan gol padang.

Usaha TNB untuk merapatkan jurang membuahkan hasil apabila Arif Sabron menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-42 tetapi usaha skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil.

Sementara itu di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu Hockey Team (THT) tidak berdepan masalah untuk menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1.

Gol-gol THT dijaringkan Nicolas Enrique Della Torre pada minit ke-20, Jang Jonghyun (m-29) dan Kim Junghoo (m-52) manakala gol saguhati UniKL pula disumbangkan Rafizul Ezry Mustafa (m-56).

KLHC pula terus mengejar rapat Sapura, apabila membenam Maybank 4-1 dalam aksi yang terpaksa ditamatkan lebih awal gara-gara masalah lampu limpah Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah terpadam pada minit ke-58.

Berita Harian X