Sabtu, 3 September 2016 | 3:33pm

Raja Thai dirawat kerana jangkitan kuman pada paru-paru

BHUMIBOL Adulyadej.

BANGKOK: Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, dirawat kerana mengalami jangkitan teruk, kata Istana Diraja, dalam kenyataan, laporan terbaru mengenai kesihatan pemerintah yang semakin merosot itu.

Kenyataan yang dikeluarkan istana pada lewat Jumaat lalu berkata, pemerintah berusia 88 tahun itu dipantau berikutan degupan jantung tinggi dan lendir dalam paru-paru.

Ia berkata, keputusan ujian lendir dan darah menunjukkan jangkitan teruk tetapi tidak mengulas lanjut.

Raja Bhumibol menghabiskan banyak masa di hospital sejak sedekad lalu, dengan kebanyakan penyakit dikaitkan dengan faktor usia tua.

Beliau tidak tampil di khalayak ramai sejak Januari lalu.

Sejak beberapa bulan lalu, pengumuman rasmi mengenai kesihatannya semakin kerap, tetapi fokus sempit dan teknikal menyukarkan usaha mengukur keadaan beliau secara keseluruhan.

Kenyataan pada Jumaat menyatakan, ujian sinar X mendedahkan paru-parunya mengandungi air, dan dikurangkan menerusi rawatan.

Tekanan darah rendah yang dialami dan demam semakin pulih dan pasukan perubatan beliau berterusan memantau rapi sebarang bentuk gejala.

Kesihatan Raja Bhumibol menjadi perhatian kerana dilihat sebagai tokoh paling stabil sepanjang 70 tahun beliau di atas takhta.

Anak lelakinya yang juga pewaris takhta, Putera Mahkota Vajiralongkorn, 63, tidak mendapat penghormatan sepertinya. - AP

Berita Harian X