Sabtu, 3 September 2016 | 4:30pm

KLIA Aeropolis cetus kebangkitan hartanah

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali (dua dari kanan) mengenai model pembangunan KLIA Aeropolis pada majlis Pelancaran KLIA Aeropolis hari ini.
Turut hadir Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (empat,kanan). - Foto BERNAMA
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali (dua dari kanan) mengenai model pembangunan KLIA Aeropolis pada majlis Pelancaran KLIA Aeropolis hari ini.
Turut hadir Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (empat,kanan). - Foto BERNAMA

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dibuka hampir dua dekad lalu semakin berubah daripada sebuah kawasan pengangkutan penerbangan utama menjadi antara pusat aktiviti ekonomi terbesar di negara ini.

Rancangan membangunkan bandar raya lapangan terbang, KLIA Aeropolis bukan hanya akan mewujudkan sumber ekonomi baharu yang mampan bagi kawasan berhampiran KLIA, malah mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan dan seterusnya membangkitkan landskap infrastruktur di sana.

Perkembangan itu secara tidak langsung akan memberikan kesegaran baharu kepada sektor hartanah di kawasan sekeliling KLIA dan juga bandar lain yang tidak jauh dari lapangan terbang utama negara itu seperti Sepang, Nilai, Cyberjaya, Putrajaya, Kajang dan Puchong.

Dibangunkan sebagai pemangkin bagi pertumbuhan perniagaan, KLIA Aeropolis akan menjadi destinasi paling sempurna kepada syarikat berwawasan tinggi.

Bakal dimajukan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di kawasan seluas 100 kilometer persegi, KLIA Aeropolis buat masa ini sedia mempunyai infrastruktur diperlukan oleh sebuah bandar raya untuk menarik kemasukan trafik termasuklah rangkaian pengangkutan awam yang cekap dan sistem jalan raya yang memudahkan perjalanan ke bandar utama lain.

Fokus strategiknya pula dibahagikan kepada tiga kluster iaitu Kargo Udara & Logistik, Aeroangkasa & Penerbangan serta Pusat Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) & Pelancongan.

Tampung keperluan

Bagi kluster Kargo Udara & Logistik, MAHB mendapat inspirasi daripada pengalaman pakar industri dan komuniti kargo udara utama dunia untuk membangunkan KLIA Aeropolis sebagai Zon Komersial Bebas seluas 50 hektar bagi menampung keperluan peserta industri kargo peringkat satu dan dua.

Kawasan seluas 100 hektar diperuntukkan untuk Taman Logistik yang merangkumi pusat pengedaran serantau dan logistik nilai tambah bagi merangsang aktiviti ekonomi serta meningkatkan peluang dagangan bernilai tinggi.

Kehadiran kluster ini akan membolehkan KLIA Aeropolis menjadi pusat tumpuan hab perdagangan elektronik (edagang) di rantau ini.

Kluster Aeroangkasa & Penerbangan pula dirancang sejajar dengan Pelan Induk Aeroangkasa Negara 2015-2030 bagi menjadikan KLIA Aeropolis sebagai teras ekosistem aeroangkasa negara ini.

Kewujudan ekosistem ini menjadikannya sebagai hab sempurna bagi syarikat berkaitan aeroangkasa dan penerbangan dengan penyelesaian lengkap bagi bidang seperti pembuatan aeroangkasa, pengeluaran peralatan tulen (OEM) dan perkhidmatan kejuruteraan.

Ia diperkukuhkan lagi dengan Zon Sokongan Aeronautik bagi menampung pangkalan syarikat penerbangan; penyenggaraan, baik pulih dan operasi (MRO) serta pengendali pangkalan tetap (FBO).

Kawasan seluas 100 hektar diperuntukkan bagi kluster Aeroangkasa & Penerbangan.

Pembangunan sesebuah bandar raya tidak akan lengkap tanpa infrastruktur yang boleh menarik kehadiran trafik ke dalamnya.

Kluster MICE & Pelancongan perkukuh kedudukan

Berikutan itu, kluster MICE & Pelancongan akan mengukuhkan kedudukan KLIA Aeropolis sebagai sebuah bandar raya yang menarik untuk dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

Dengan projek ikonik seperti Mitsui Outlet Park KLIA, Kompleks Tabung Haji dan Airport Central serta kemudahan sedia ada seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kluster ini dianggap penyokong penting pembangunan keseluruhan KLIA Aeropolis.

Secara keseluruhan, projek berkenaan bakal memberikan limpahan rezeki kepada pemilik hartanah di sekitar KLIA.

Antara perbandaran yang sudah dan bakal dibuka oleh pemaju terkemuka termasuklah Kota Warisan, Saujana KLIA (Glomac), Puteri Warisan (IOI Properties), KIP Sentral, Sunsuria City (Sunsuria), Serenia City (Sime Darby), projek Island & Peninsular (I&P) dan Salak Perdana (Paramount).

Di samping itu, Xiamen University dan Kuala Lumpur International Outlet adalah antara institusi pendidikan dan pusat komersial yang sedang dalam pembinaan di bahagian selatan Lembah Klang terbabit.

Info

Lokasi KLIA Aeropolis

* 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur

* 15 kilometer dari Putrajaya dan Cyberjaya

* Terdapat empat perbandaran dalam radius 10 kilometer

* Terdapat satu padang golf dalam radius 10 kilometer

Berita Harian X