Sabtu, 3 September 2016 | 7:03pm

Mati ditetak lebih 12 kali

KINABATANGAN: Seorang pekerja ladang ditemui mati dengan kesan kecederaan di seluruh badan, disyaki ditetak lebih 12 kali oleh adik iparnya di Ladang Permodalan 1, dekat sini, malam tadi.

Mangsa berusia 26 tahun itu ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan di tengkuk, kepala, belakang badan, bahu dan kaki di kawasan perumahan terbabit, kira-kira jam 8.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata polis menerima maklumat kejadian daripada pengurus ladang terbabit pada jam 11.39 malam yang memaklumkan mangsa disyaki mati dibunuh.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa tertiarap di tanah dalam keadaan berlumuran darah dan tidak berbaju.

"Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 petang semalam berdasarkan keterangan jiran mangsa.

"Jiran mendakwa mendengar jeritan meminta tolong namun tidak melihat pergaduhan, hanya ternampak seorang lelaki berlari sambil memegang parang sebelum bersembunyi kerana ketakutan," katanya di sini, hari ini.

Berikutan itu, A Sahak berkata, polis menahan adik ipar mangsa berusia 23 tahun di perumahan pekerja Ladang Permodalan 4 kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi dan merampas sebilah parang berukuran 45 sentimeter dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.

"Soal siasat terhadap ahli keluarga mangsa mendapati mereka tidak pernah bergaduh.

"Punca kejadian masih disiasat manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X