Ahad, 4 September 2016 | 12:03am

'Bintang YouTube usah leka diulit fantasi'

BERPENGALAMAN hampir 25 tahun dalam industri muzik, Edry Abdul Halim, kesal sikap ambil mudah segelintir bakat baharu yang leka dengan populariti diraih hingga mengabaikan kualiti karya yang dihasilkan.

Anggota trio adik-beradik KRU itu, berkata mereka yang sedang mencipta nama, seharusnya berusaha mengasah bakat kerana ia jaminan bertahan lama dan jangan sesekali membiarkan diri diulit fantasi indah bersifat sementara.

Edry akur, kecanggihan teknologi terutama perkembangan pantas media sosial seperti YouTube dan Instagram, memudahkan bakat baharu ini mendekati peminat.

KUMPULAN KRU dianggotai adik-beradik Edry, Norman dan Yusry Abdul Halim. - Foto Munira Abdul Ghani

Cukup sekadar memuat naik rakaman video menerusi medium itu dan jika tuah menyebelahi, sekelip mata nama mereka akan meniti di bibir ramai.

"Tetapi sebahagian mereka lupa, populariti harus seiring dengan bakat. Disebabkan terlalu ghairah mendapatkan perhatian, mereka mengabaikan aspek penting yang menjadi aset seseorang penyanyi seperti meningkatkan kualiti vokal, persembahan dan muzik.

"Mungkin pada permulaan, khalayak tertarik dengan keistimewaan yang mereka miliki tetapi lama-kelamaan, peminat mengharapkan karya yang matang dan bermutu. Jumlah pengikut yang ramai di laman sosial bukan pengukur kejayaan sesebuah single atau album.

"Semua itu hanya fantasi. Lihat sahaja kebanyakan bakat yang dicungkil menerusi YouTube. Memang mereka pantas mencipta nama, tetapi berapa ramai yang masih bertahan? Ada baiknya mereka memperbaiki diri dan menggali ilmu supaya tidak berada pada takuk yang sama," katanya.

EDRY ketika menjadi juri uji bakat Akademi Fantasia 2016 pada Peringkat 2 di Hotel Boulevard St Giles, Mid Valley di Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

Edry berkata, biarpun memiliki pengalaman yang luas, dirinya tidak pernah membataskan ruang untuk belajar malah sentiasa berusaha melengkapkan lagi pengetahuannya mengenai muzik kerana ia sentiasa melalui evolusi.

Baginya, proses pembelajaran tidak pernah berhenti kerana setiap hari, pasti ada ilmu baharu yang akan diserap. Edry juga akur, kualiti dalam diri artis itu turut menentukan jatuh dan bangun mereka dalam industri.

"Mereka perlu berdisiplin kerana tugas menghiburkan peminat dan memberikan karya yang terbaik bukan kerja mudah.

"Mereka tidak boleh selamanya bersandar kepada populariti kerana saban hari, industri diperkenalkan dengan bakat baharu yang menawarkan pelbagai keistimewaan tersendiri.

"Peminat hari ini semakin bijak. Mereka bukan sahaja menilai dengan telinga, tetapi juga dari hati. Mungkin pada permulaan, rakaman video yang dimuat naik itu disukai ramai dan menjadi fenomena. Tetapi ia bukan ukuran untuk menguji kesetiaan peminat.

PENGALAMAN yang luas membuatkan Edry dipilih sebagai Pengarah Seni Muzik AF 2016. Foto Saifullizan Tamadi.

"Jika malas memperbaiki diri, lama-kelamaan peminat akan jelak. Nyanyian memerlukan jiwa dan perlu datang dari hati. Itu yang menjadi kekuatan penyanyi berpengalaman seperti Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza," katanya.

Turut mencurahkan pengalamannya dalam program realiti, Edry berkata, kelangsungan seseorang penyanyi juga bergantung kepada niat mereka menceburi industri hiburan.

Biarpun terpilih sebagai antara barisan finalis, namun tidak semua mereka serius menjadikan seni sebagai kerjaya tetap.

"Ada di antara mereka mencuba sekadar untuk menguji sejauh mana kehadiran diterima peminat. Namun, jika serius ingin menjadi anak seni yang baik, jangan berhenti menggali ilmu. Usah malas atau malu mempertingkatkan ilmu dan carilah guru yang berpengalaman supaya langkah tidak tersasar.

"Ilmu yang ada ini akan membezakan di antara penyanyi suka-suka dengan profesional," katanya.

EDRY ketika membuat persembahan pada konsert Hot Cool Jam di Setia City Park, Setia Alam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Berita Harian X