Ahad, 4 September 2016 | 3:48pm

279 usahawan bernaung bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

PENGARAH Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia Rosli Abd Hamid (empat dari kanan) menunjukkan antara produk yang dijual di Kompleks Kraf Johor selepas Mesyuarat Publisiti Perasmian Kompleks Kraf Johor hari ini - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Seramai 279 usahawan kraf di seluruh Johor bernaung dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan negeri itu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Rosli Abd Hamid, berkata semua usahawan terbabit meliputi pelbagai bidang kraf iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam serta aneka kraf.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu usahawan kraftangan termasuk dalam usaha mempromosikan produk mereka termasuk menyertai pelbagai pameran.

"Sejak mula beroperasi 30 tahun lepas, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor berjaya membangunkan industri kraf di negeri ini supaya terus maju dan seterusnya meningkatkan pembangunan industri kraf," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Publisiti Perasmian Kompleks Kraf Johor dan lawatan media, di sini hari ini.

Rosli berkata, pihaknya mempunyai empat program bagi membantu semua usahawan kraf iaitu program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Pembangunan Usahawan Enterprise Micro, Kecil dan Sederhana, Pembangunan Usahawan Muda serta Pembangunan Kraf Warisan.

Katanya, cawangan itu yang terletak di Jalan Cenderasari di Larkin, dekat sini ditukar kepada Kompleks Kraf Johor yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi aktiviti kraf dan kesenian serta menjadi hab pemasaran produk kraf bagi zon selatan, mulai 26 Mei lalu.

Perasmian kompleks itu dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, pada 4 Oktober ini.

"Bercirikan seni bina bumbung rumah limas Johor, Kompleks Kraf Johor menawarkan pelbagai produk pelancongan seni kraf kepada pengunjung tempatan dan luar negara berteraskan konsep pembudayaan, pemasaran dan pendidikan," katanya.

Rosli berkata, kompleks itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan aktiviti termasuk galeri kraf yang menyediakan pameran barangan kraf serta demonstrasi kraf yang memberi peluang pengunjung melihat sendiri proses pembuatan kraftangan dan alat muzik tradisional.

Katanya, selain turut menyediakan Craft Bistro yang menawarkan menu makanan asli Johor dan dibuka setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X