Ahad, 4 September 2016 | 9:03pm

DeTIK Ke-3 lahirkan pendebat ala Ahli Parlimen British


PENGARAH IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

KUALA LUMPUR: Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) ke-3 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, di sini pada 7 hingga 10 Oktober ini akan menampilkan format dan gaya perdebatan Parlimen Britain.

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata debat bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa Kebangsaan itu terbuka kepada semua mahasiswa program asasi, matrikulasi, diploma, dan ijazah pertama berusia di bawah 21 tahun.

Katanya, penyertaan terbuka kepada semua universiti awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik dan kolej universiti di seluruh negara.

Beliau berkata, sejajar format dan gaya perdebatan Parlimen British, setiap pasukan diwakili dua peserta.

"Kami menyasarkan 60 pasukan akan mengambil bahagian dalam DeTIK 2016 yang bertemakan Pendidikan dan Kepemimpinan Muda," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara rakan kolaborasi utama DeTIK kali ini adalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Debat Universiti Malaysia ((MADUM).Johan pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,500 kepada pemenang tempat kedua.

34 dibaca
Berita Harian X