Isnin, 5 September 2016 | 2:05pm

IFOSD tarik 120 penyertaan


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Zulkafli Abd Rashid (kiri) bersama Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aeni Mokhtar (dua kanan), Pengerusi Persatuan Industri Udang Malaysia, Syed Omar Syed Jaafar (kanan) dan Pengarah Institut Akuakultur Tropika UMT, Prof. Dr. Mohd Azmi Ambak (dua kiri) melihat udang laut yang dipamerkan pada majlis Perasmian International Forum On Shrimp Disease In Aquaculture 2016 di Universiti Malaysia Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Forum Antarabangsa Penyakit Udang Laut (IFOSD) 2016 yang dianjurkan buat julung kali di Malaysia oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menarik penyertaan 120 orang termasuk pensyarah, pemain industri dan penyelidik dari dalam serta luar negara.

Antara negara berkenaan ialah Filipina, Thailand, Vietnam dan India yang terbabit dalam industri akuakultur dan ingin mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah penyakit udang yang memberi impak kepada hasil pengeluaran negara.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata forum dua hari itu adalah hasil kerjasama antara Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) UMT, Jabatan Perikanan Malaysia dan Persatuan Penternak Udang Marin Malaysia.

Katanya, penganjuran forum itu diharap dapat mencari jalan penyelesaian bagi penyakit udang melalui pengumpulan maklumat mengenai isu, langkah pencegahan serta rawatan yang diguna pakai dalam ternakan udang marin melalui lontaran idea daripada pakar serta saintis.

"Mengikut data Jabatan Perikanan Malaysia, jumlah pengeluaran udang negara menurun dengan mendadak iaitu daripada 100,000 tan pada 2010 kepada 46,000 tan 2014, disebabkan dua jenis penyakit yang menyerang ternakan.

"Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di banyak negara lain dunia, sekali gus menjejaskan ekonomi berasaskan akuakultur," katanya ketika berucap pada forum berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Zulkafli Abd Rashid.

Berita Harian X