Isnin, 5 September 2016 | 4:08pm
Pelakon Remy Ishak.
Pelakon Remy Ishak. - Foto ihsan instagram Remy Ishak.

Remy Ishak jadi nelayan

KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak teruja melakonkan watak nelayan dalam filem baharu berjudul Pulang karya pengarah, Khabir Bhatia.

Bakal memulakan penggambaran pada pertengahan bulan ini, filem terbabit diadaptasikan daripada kisah benar pada tahun 1939.

Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimie Ishak, 34, memberitahu BH Online, dia sedang mengkaji watak nelayan yang ditawarkan kepadanya itu.

"Idea asal filem Pulang ini diberi Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar di mana ia diadaptasikan daripada kisah benar.

"Saya diberi amanah untuk menjayakan watak nelayan yang mahu meningkatkan taraf hidup selepas mendirikan rumah tangga.

"Sehubungan itu, saya banyak menjalankan kajian dengan bertanya kepada bapa saudara saya yang mencari rezeki sebagai nelayan," katanya yang berada di Klang untuk membuat persediaan sebelum penggambaran bermula.

Selain Remy, filem yang dijangka membabitkan kos besar itu turut menampilkan Puteri Aishah, Azrel Ismail, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

Berita Harian X