Isnin, 5 September 2016 | 6:01pm

Kad kahwin Fara Fauzana tinggal kenangan

KUALA LUMPUR: Kad undangan majlis perkahwinan personaliti radio dan televisyen terkenal, Fara Fauzana, kini hanya tinggal kenangan apabila beliau membuat pengumuman mengejut mengenai pembatalan majlis perkahwinannya, semalam.

Menerusi gambar yang dikirimkan kepada BH Online, hari ini, kad terbabit memaparkan nama bakal pengantin selain maklumat lanjut mengenai tarikh, lokasi dan atur cara majlis yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini.

Bagaimanapun, sedikit berbeza daripada kad undangan perkahwinan lain, nama pengantin lelaki hanya disebut sebagai Mohamed Hafiz.

Sebelum ini, Fara sendiri tidak mendedahkan dengan lebih lanjut identiti lelaki yang sepatutnya menjadi suami beliau ketika mengadakan sidang media mengumumkan rancangan perkahwinan, pada 1 Ogos lalu. Sebaliknya, pengacara Muzik-Muzik berkenaan hanya memperkenalkan jejaka itu sebagai Hafiz.

Enggan terus berteka-teki, BH Online cuba mendapatkan penjelasan Fara sendiri berhubung perkara itu. Namun, seperti yang dinyatakan olehnya dalam kenyataan media semalam, Fara sekali lagi memohon diberi ruang dan waktu untuk dirinya mencari ketenangan diri.

"Terima kasih kerana menghubungi, tetapi buat masa ini saya memang tidak bersedia untuk bercakap apa-apa.

"Saya masih memerlukan masa untuk diri ini. Saya minta maaf sangat-sangat dan harap semua pihak dapat memahami," katanya menerusi aplikasi WhatsApp yang dikirimkan sebentar tadi.

Semalam, wanita berusia 36 tahun itu menerusi kenyataan media memaklumkan pembatalan rancangan perkahwinannya atas sebab-sebab peribadi yang sukar untuk dikongsikan bersama umum.

Tambahnya, keputusan berkenaan juga dibuat selepas memikirkan perkara itu sebaik-baiknya, selain membincangkan hal terbabit bersama kedua-dua orang tuanya.

Terdahulu, Fara mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang bersama ahli perniagaan dikenali dengan nama Hafiz pada 17 September 2016. Majlis pernikahan berkenaan dijadualkan berlangsung di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, di sini.

Berita Harian X