Selasa, 6 September 2016 | 12:03am

Wira di sebalik tabir pertahanan negara

KUALA LUMPUR: Kemampuan tiga tonggak utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak perlu dipertikaikan lagi berdasarkan rekod yang ada, bukan sahaja pencapaian di peringkat domestik malah pembabitan dalam misi penting di seluruh dunia, termasuk konflik antarabangsa.

Apa yang tidak begitu diketahui umum adalah di sebalik setiap tugasan atau misi yang dijalankan, ada tiga markas penting menggerakkan pasukan keselamatan negara itu, iaitu Markas ATM, Markas Angkatan Bersama (MAB) dan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, berkata fungsi ketiga-tiga markas berkenaan adalah melaksanakan semua tugas yang dipertanggungjawabkan berdasarkan setiap arahan terus daripadanya selaku ketua dalam ATM.

"Markas ATM, MAB dan BSPP adalah tiga elemen dalam ATM yang digerakkan untuk menyokong, menyelaras serta membantu saya dalam seluruh perkhidmatan ATM bagi melancarkan tugas atau misi penting demi keselamatan negara," katanya.

Dengan senario peperangan pada zaman serba moden dan canggih ini, katanya, amat penting untuk menggabungkan pasukan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui 'Join Op' secara seimbang dalam apa juga tugasan.

A) Keris adalah lambang kepahlawanan orang Melayu di Semenanjung Malaysia; B) Bintang pecah empat belas melambangkan empat belas buah negeri dalam Malaysia; C) Burung Helang mewakili Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); D) Parang Sarawak yang digandingkan dengan keris melambangkan semangat juang yang dikongsi pribumi dari Sabah dan Sarawak bagi mempertahankan negara; E) Sauh memperlihatkan elemen TLDM yang sentiasa menjaga perairan negara.

Beliau berkata, ada tugas atau operasi tertentu yang memerlukan lebih daripada satu atau lebih cabang ketenteraan seperti menggabungkan trup atau aset daripada Tentera Darat, TLDM atau TUDM, berdasarkan situasi dan keperluan ketika itu.

"Secara dasar, apabila setiap elemen ketenteraan ini digabung dan diselaraskan oleh tiga markas utama dalam ATM, maka kesiapsiagaan pasukan, sama ada dari segi kekuatan pegawai dan anggota serta aset tempur akan lebih digeruni," katanya.

Berita Harian X