Selasa, 6 September 2016 | 8:04pm

Pelajar Tingkatan Tiga maut dipercayai akibat kencing tikus

SEORANG pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia pagi tadi dipercayai akibat jangkitan kencing tikus selepas mandi di kawasan air terjun Jeram Mak Nenek, Selising. - Foto hiasan
SEORANG pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia pagi tadi dipercayai akibat jangkitan kencing tikus selepas mandi di kawasan air terjun Jeram Mak Nenek, Selising. - Foto hiasan

PASIR PUTEH: Seorang pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia pagi tadi dipercayai akibat jangkitan kencing tikus selepas mandi di kawasan air terjun Jeram Mak Nenek, Selising, di sini, dua minggu lalu. 

Mangsa, Muhammad Fikri Farizaq Mukhtar, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol mengalami demam berlarutan selepas mandi di jeram itu bersama tiga lagi rakannya pada 27 Ogos lalu.

Bagaimanapun, difahamkan, tiga lagi rakan mangsa tidak terkena jangkitan kencing tikus itu. 

Ibu mangsa, Siti Rakiah Abu Hanifah, 46, berkata, anaknya mengalami demam selama empat hari sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.  

Katanya, anak bongsu daripada enam beradik itu pada mulanya disyaki demam denggi namun keadaan berlarutan hingga mengigil, kurang selera makan dan muntah darah.  

"Keadaannya semakin kritikal sejak semalam dan meninggal dunia jam 10 pagi tadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerus, Selising,di sini, hari ini. 

Katanya, beliau dan suami, Mukhtar Awang, 58 dan keluarga hanya mengetahui mangsa mandi di jeram itu selepas diberitahu mangsa ketika mendapatkan rawatan di hospital. 

"Beberapa hari sebelum meninggal arwah berubah sikap menjadi pendiam, kurang makan berbeza dengan perangai sebelum ini yang peramah dan suka makan, selain kelihatan letih," katanya. 

Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya jika kawasan rekreasi itu dicemari virus kencing tikus selain menasihati pengunjung supaya berhati-hati dengan wabak penyakit itu. 

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerus, jam 5 petang tadi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X