Rabu, 7 September 2016 | 12:04am
MAYA bakal turun ke lokasi tahun depan selepas tiga tahun tidak menerima tawaran filem. - Foto Aziah Azmee
MAYA Karin atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke. - Foto Aziah Azmee

Maya tolak lakon drama elak wajah 'bersepah' dalam produksi

LAKONAN Maya Karin ternyata pada kelas tersendiri apabila muncul antara bakat yang begitu menyerlah setiap kali menghiasi layar perak.

Tidak keterlaluan dikatakan, wanita berdarah kacukan Melayu-Jerman ini antara pelakon terbaik pernah dilahirkan industri filem tempatan.

Tidak hanya menggenggam anugerah tempatan, Maya juga pernah dinobatkan sebagai Aktres Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik menerusi Pontianak Harum Sundal Malam.


MYA Ruslee kini genap setahun menjanda. - Foto ihsan @amirnaufalphotography

Maya yang memulakan kerjaya seni sejak 15 tahun lalu bersyukur kerana bakatnya masih belum terpinggir ketika nama baharu semakin kukuh menguasai industri.

"Semua ini adalah usaha keras yang saya lakukan dan ia menuntut komitmen yang tinggi. Selepas nekad memilih lakonan sebagai kerjaya, saya tanamkan dalam diri supaya komited dengan apa yang dilakukan. Alhamdulillah, sehingga ini bakat saya masih diterima," katanya.

Di sebalik kemunculan pelakon yang diperkenalkan Aziz M Osman menerusi filem, Seri Dewi Malam di layar perak, Maya seolah-olah membatasi kerjayanya apabila jarang menghiasi produksi televisyen (TV).

Ia mencetuskan tanda tanya kepada umum, termasuk peminat yang merindui lakonan terbaharunya.

"Kali terakhir saya beraksi adalah tiga tahun lalu iaitu menerusi filem Nota. Sejak awal pembabitan, saya hanya memilih untuk berlakon filem dan bukan drama. Saya masih muncul di kaca TV tetapi hanya sebagai pengacara dan bukan pelakon," katanya.


MYA mula "pasang badan" untuk kepuasan diri sendiri, selain demi kelangsungan kerjaya seni. - Foto ihsan @amirnaufalphotography

Maya mengakui, semua itu dilakukan atas kemahuannya sendiri bagi mengelak peminat daripada jemu apabila wajahnya 'bersepah' dalam pelbagai produksi.

Mungkin ada yang beranggapan, Maya cuba meletakkan dirinya sebagai pelakon eksklusif, namun bintang Pontianak Harum Sundal Malam ini mempunyai alasan tersendiri.

"Saya lebih suka berlakon filem kerana proses pembikinannya mengambil sedikit masa, jadi kemunculan saya agak terbatas. Pada masa sama, saya mahu penonton mempunyai masa untuk melihat dan menilai satu demi satu lakonan saya.

"Saya tidak mahu terlalu kerap muncul dalam pelbagai medium kerana ia hanya membataskan peluang saya untuk mencuba pelbagai watak berbeza," katanya.

Teringin watak wirawati

Bagi pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke, berlakon filem juga memberikan peluang kepadanya supaya lebih fokus terhadap setiap watak yang ditawarkan.

"Bukan menjaga nilai eksklusif semata-mata, tetapi soal masa dan jadual yang panjang turut memainkan peranan jika saya terbabit dengan produksi TV.


MYA menjaga badan dan penampilan bukan dengan niat hendak memikat hati sesiapa, sebaliknya lebih kepada membina imej. - Foto ihsan @amirnaufalphotography

"Berlakon drama ini agak memenatkan hingga ada rakan artis yang mengusik dan meminta supaya saya tidak terbabit dengan produksi TV. Mereka bercakap daripada pengalaman tetapi secara peribadi, saya lebih senang membintangi filem" katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Maya bakal turun ke lokasi tahun depan selepas tiga tahun tidak menerima tawaran filem.

Akui Maya, dirinya agak teruja kerana diberikan tanggungjawab membawa watak yang berbeza dalam filem yang masih dirahsiakan itu.

"Saya sudah berbincang dengan pengarah dan produksi, cuma saya belum bersedia untuk berkongsi segala butiran lanjut mengenai filem itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai watak dambaannya, Maya menyimpan angan untuk beraksi sebagai wirawati, suatu hari nanti.

Wanita yang memiliki sepasang mata galak dan bakal memasuki umur 37 tahun Oktober ini juga bertekad untuk terus mengabdikan diri kepada seni selagi terdaya.

"Saya tetap akan berlakon mengikut kesesuaian watak yang ditawarkan. Tidak kira apabila usia memasuki 40-an, 50-an atau sehingga 70-an nanti. Lakonan adalah jiwa saya dan saya suka melakukannya," katanya.

Maya yang turut aktif sebagai penyanyi dan pengacara juga bakal melahirkan single terbaharu berjudul Senyuman Manismu, berduet dengan Tomok.

"Saya juga ada merancang untuk merakamkan beberapa lagu dengan penyanyi dan komposer, Awi Rafael," katanya.

Berita Harian X