Rabu, 7 September 2016 | 9:37am

Tenis: Monfils mara ke separuh akhir Terbuka AS

GAEL Monfils beraksi ketika menentang Lucas Pouille pada peringkat suku akhir Terbuka Amerika Syarikat, awal pagi tadi. - Foto AFP
GAEL Monfils beraksi ketika menentang Lucas Pouille pada peringkat suku akhir Terbuka Amerika Syarikat, awal pagi tadi. - Foto AFP

NEW YORK: Selepas lapan tahun, Gael Monfils kembali dalam aksi separuh akhir Grand Slam selepas menewaskan rakan senegara dari Perancis, Lucas Pouille 6-4, 6-3, 6-3 pada peringkat suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Pilihan ke-10, Monfils menguasai perlawanan menentang pemain berusia 22 tahun, Pouille yang mara ke suku akhir selepas mengejutkan juara major 14 kali, Rafael Nadal.

"Saya bertuah kerana dapat berehat seketika, jadi ia memberi saya masa untuk menenangkan fikiran," kata Monfils mengulas mengenai perlawanan yang terpaksa ditangguhkan selama 15 minit bagi menutup bumbung di Stadium Arthur Ashe.

"Saya berasa sangat baik malah permainan saya bertambah baik kerana beraksi dalam stadium tertutup. Saya kekal fokus dan meneruskan strategi permainan saya".

Monfils yang hanya sekali mara ke separuh akhir kejohanan Grand Slam - Terbuka Perancis 2008 - akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain nombor satu dunia yang juga juara bertahan, Novak Djokovic dengan Jo-Wilfried Tsonga dari Perancis bagi perebutan tempat ke final.

Sebagai rekod, ini kali pertama dalam tempoh 89 tahun tiga pemain Perancis layak ke suku akhir Terbuka AS. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X