Rabu, 7 September 2016 | 2:24pm

Rashford mahu buka mata Allardyce, Mourinho

PEMAIN England, Marcus Rashford (kiri) bersaing dengan pemain Norway, Kristoffer Haraldseid pada aksi perlawanan kelayakan Piala UEFA Eropah bawah 21. - Foto REUTERS

LONDON: Marcus Rashford berharap dia berjaya membuatkan Sam Allardyce dan Jose Mourinho pening dalam memilih pemain selepas mempamer aksi menakjubkan pada penampilan pertama bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) England.

Penyerang Manchester United itu mengekalkan rekod menjaringkan gol dalam setiap penampilan pertamanya untuk pengurus baharu apabila meledak hatrik ketika menewaskan Norway 6-1 di Colchester.

Aksi Rashford membuatkan jurulatih skuad B-21 England, Gareth Southgate terpaksa mengakui yang ini mungkin kali pertama dan terakhir dia dapat bekerjasama dengan Rashford di peringkat itu.

Rashford kini bersaing bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama United yang dibimbing Mourinho menjelang aksi tetangga bertemu Manchester City, Sabtu ini.

Dia juga mengintai peluang untuk kembali dipanggil dalam skuad senior England bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Malta dan Slovenia.

"Hanya itu yang kamu mahu lakukan sebagai pemain muda, membuatkan pengurus kamu berfikir sama ada mahu menurunkan kamu atau tidak.

"Saya teruja (untuk aksi tetangga) dan ia sangat bermakna buat saya (Allardyce hadir menyaksikan perlawanan menentang Norway).

"England kini ada pengurus baharu dan semua pemain mahu melakukan yang terbaik bagi berada dalam skuad. Jadi, penting dia berada di sini untuk menyaksikan perkembangan kami," kata Rashford. - Agensi

Berita Harian X