Rabu, 7 September 2016 | 4:13pm

Ganding bahu cari penyelesaian kes buli - MCPF


Tan Sri Lee Lam Thye.

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berkuasa, sekolah dan ibu bapa mengambil langkah positif bagi menangani isu keganasan terutama kes buli dalam kalangan pelajar daripada terus berleluasa.

Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 1.6 peratus daripada jumlah indeks jenayah negara adalah membabitkan pelajar, manakala Kementerian Pendidikan pula memaklumkan hanya dua peratus daripada lima juta pelajar terbabit dalam salah laku di sekolah.

Katanya, walaupun kes salah laku pelajar di sekolah amat rendah, namun semua pihak tidak seharusnya leka kerana masalah itu boleh mendorong perlakuan jenayah lebih berat lagi.

"Kes buli semakin membimbangkan di sekolah termasuk sekolah agama. Masalah disiplin pelajar sekolah sudah wujud, namun kita perlu mengambil iktibar daripada kes sebelum ini supaya langkah awal diambil untuk mengenal pasti penyelesaian terhadap masalah itu.

"Kejadian buli dan tingkah laku ganas di sekolah agama tidak seharusnya berlaku kerana pelajar sudah dilengkapi ajaran agama yang sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar lain.

"Justeru, semua pihak berkepentingan perlu berganding bahu mencari punca perlakuan jenayah termasuk buli dalam kalangan pelajar sekolah dan mencari jalan penyelesaian segera," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BH melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kes pukul membabitkan seorang murid sekolah agama di Putatan, yang menjadi viral di laman Facebook, sejak semalam.

Video berdurasi selama dua minit 27 saat itu menunjukkan seorang murid lelaki memukul rakannya menggunakan kerusi, selain menumbuk dan mencekik leher mangsa dalam kejadian di sebuah kelas di sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pihak sekolah terutama guru disiplin dan kaunseling perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelajar yang terbabit dalam jenayah terutama kes buli.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan sekolah juga perlu melaporkan kepada ibu bapa pelajar berkaitan tingkah laku anak mereka, selain membuat laporan polis.

"Pegawai polis perhubungan sekolah dan anggota keselamatan sekolah juga perlu memantau pergerakan pelajar di sekolah. Mereka juga boleh memberi nasihat dan teguran kepada pelajar bermasalah supaya membantu mereka menghindari perlakuan jenayah.

"Ibu bapa pula perlu meluangkan masa berkualiti untuk berbincang dan mengenali masalah anak mereka, selain mencari jalan penyelesaian bersama," katanya.

Berita Harian X