Rabu, 7 September 2016 | 4:22pm

53,747 saman RM8.29 juta dikeluarkan JPJ Johor

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Johor, Razali Wagiman (kiri) bersama pegawainya membuat pemeriksaan pada sebuah kereta ketika menyertai Ops Bersepadu bersama agensi kerajaan yang lain di jalan Tun Abdul Razak Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Johor, Razali Wagiman (kiri) bersama pegawainya membuat pemeriksaan pada sebuah kereta ketika menyertai Ops Bersepadu bersama agensi kerajaan yang lain di jalan Tun Abdul Razak Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 53,747 saman berjumlah RM8.29 juta membabitkan pelbagai kesalahan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman, berkata saman itu dikeluarkan pihaknya hasil pemeriksaan dijalankan terhadap 67,428 kenderaan persendirian dan perdagangan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, antara kesalahan dilakukan membabitkan menyalahgunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, tidak memakai topi keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Dalam tempoh berkenaan, JPJ Johor juga menyita 409 kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu JPJ Johor di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Operasi hampir tiga jam sejak 9 pagi itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Razali berkata, dalam operasi terbaru itu, sebanyak 1,967 kenderaan diperiksa dan 500 saman dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk membabitkan kesalahan tiada lesen memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X