Khamis, 8 September 2016 | 11:31am

Wartawan tunggu Fara Fauzana di Bengkel Sekolah Radio iM4U

KUMPULAN wartawan yang menunggu kemunculan Fara di Bengkel Sekolah Radio iM4U di Puchong.
KUMPULAN wartawan yang menunggu kemunculan Fara di Bengkel Sekolah Radio iM4U di Puchong.

PUCHONG: Usaha petugas media menjejaki Fara Fauzana bagi mendapatkan reaksinya berhubung pembatalan pernikahan dengan Mohamed Hafiz Badiuzzaman berterusan kerana belum ada kenyataan rasmi daripada penyampai radio terkenal berkenaan.

Pagi ini, Fara dijangka tampil sebagai ahli panel pada Bengkel Sekolah Radio iM4U di i4MU Sentral, di sini, pagi ini.

Bagaimanapun kelibat Fara masih tidak kelihatan walaupun wakil penganjur memaklumkan dia bersama panel lain sudah berada di dalam dewan.

Difahamkan selebriti yang masih enggan mendedahkan punca pembatalan pernikahannya itu cuba mengelak daripada sekumpulan media yang menantinya seawal jam 9 pagi.

Terdahulu sehari sebelum majlis membabitkan pelajar sekolah itu berlangsung, Fara dikatakan meminta penganjur tidak membuat temuramah kerana mahu bergegas ke tempat lain usai majlis.

Selain Fara, acara sempena ulang tahun kedua stesen radio terbabit turut dihadiri Faizal Ismail, Aizat dan Altimet.

Menerusi jadual Fara sepatutnya menjadi moderator dalam salah satu segmen bengkel berkenaan pada jam 11 pagi.

Begitupun tidak dapat dipastikan laluan masuk setiap selebriti memandangkan dewan ini mempunyai 10 pintu yang membolehkan Fara mengelirukan pihak media.

Fara mengumumkan perkahwinannya dengan bakal suami pada 1 Ogos lalu tanpa mendedahkan identiti sebenar lelaki itu hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Keadaan semakin hangat apabila minggu lalu ada media menghidu berita wakilnya menghubungi saudara mara terdekat membatalkan perkahwinan mereka yang sepatutnya diadakan di Dewan Mustapha Kamal, Damansara Perdana pada 17 September depan.

Bagaimanapun Fara membisu hingga Ahad lalu dia mengeluarkan kenyataan mengesahkan mengenai perkara berkenaan.

Selepas itu, timbul desas desus termasuk status bakal suaminya yang juga ahli politik sebagai suami orang.

Namun, Mohamed Hafiz menafikannya, semalam.

Berita Harian X