Khamis, 8 September 2016 | 1:24pm

Fara Fauzana mengaku perlu terus bekerja biarpun hadapi masalah

FARA Fauzana berkata apa jadi, kita tetap kena "chill" selain berkongsi pengalamannya sebagai personaliti TV.
FARA Fauzana berkata apa jadi, kita tetap kena "chill" selain berkongsi pengalamannya sebagai personaliti TV.

PUCHONG: "Walau apapun masalah atau cabaran hidup, kerja perlu diteruskan."

Begitulah yang diluahkan pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana sebaik diusik teman gandingan, Faizal Ismail ketika mereka tampil sebagai moderator pada sesi Bengkel Sekolah Radio di iM4U Sentral di sini, sebentar tadi.

Usikan itu seakan sengaja diluahkan Faizal atau lebih mesra disapa FBI, selepas menyedari kehadiran sekumpulan wartawan yang menunggu kemunculan Fara sejak jam 9 pagi untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu pembatalan perkahwinannya.

Selepas mengedarkan kenyataan media menerusi Whatsapp, Ahad lalu, Fara terus 'mengunci mulut' dan mengelak daripada bertemu media.

Kehadiran Fara di pusat operasi radio iM4U, di sini adalah kemunculan pertama personaliti popular itu pada majlis terbuka. Namun, kelibatnya memasuki dewan bengkel yang dihadiri pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), tidak disedari media.

Sementara itu, tinjauan BH Online mendapati kenderaan milik Fara diletakkan di pintu belakang dewan tanpa dimatikan enjin. Seorang lelaki dipercayai pemandu Fara, seolah-olah sudah bersedia membawa Fara pulang sebaik bengkel berakhir.

Seorang individu dipercayai kakitangan stesen iM4U sempat menegur wartawan dan jurugambar yang berdiri di pintu keluar berhampiran kenderaan milik Fara supaya tidak berkumpul di kawasan itu.

Turut diperhatikan, enam pegawai keselamatan mengawal kawasan berkenaan.

Ini seolah-olah memberi gambaran Fara masih tidak mahu bertemu media kerana sehari sebelum acara Bengkel Sekolah Radio diadakan, sumber memberitahu, Fara enggan ditemubual sebaliknya mahu segera pulang.

Pada 1 Ogos lalu, Fara mengumumkan bakal mengahwini ahli perniagaan dikenali sebagai Mohamed Hafiz Badiuzzaman, 30, pada sidang media khas tanpa mendedahkan butiran terperinci mengenai jejaka terbabit.

Keadaan bertambah hangat apabila minggu lalu, media 'menghidu' berita wakil Fara menghubungi saudara mara terdekat membatalkan perkahwinan mereka yang sepatutnya diadakan di Dewan Mustapha Kamal di Damansara Perdana, Petaling Jaya pada 17 September depan.

Bagaimanapun, Fara membisu sehinggalah mengeluarkan kenyataan mengesahkan perkahwinannya dibatalkan, Ahad lalu.

Selepas itu, timbul pelbagai desas desus termasuk status bakal suami Fara yang dikatakan suami orang. Namun, perkara itu dinafikan Mohamed Hafiz, semalam.

Berita Harian X