Khamis, 8 September 2016 | 5:47pm

'Pakar Roket' Langkawi bawa cabaran negara ke APRSAF

KHAIRUL Ikmal Hakim Nurisyam, 14, dan Rohizad Zarain, 15, (dua dari kanan) bersama roket ciptaan mereka yang akan dibawa menyertai Acara Roket Air Peringkat Asia Pasifik di Laguna, Filipina November ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tuba, di sini, mendapat jolokan 'Pakar Roket' dalam kalangan rakan apabila bakal menggalas cabaran negara pada Acara Roket Air Peringkat Asia Pasifik di Laguna, Filipina November ini.

Khairul Ikmal Hakim Nurisyam, 14, dan Rohizad Zarain, 15, bakal menggalas saingan atas nama negara pada pertandingan itu sempena Persidangan Asia Pacific Regional Space Agency Forum (APRSAF) ke-23.

Pada pertandingan peringkat kebangsaan selama tiga hari di Universiti Malaya yang berakhir 30 Ogos lalu, dua pelajar itu yang diiringi guru pembimbing, Mohd Jazrinizad Jamaludin, muncul johan mengatasi SMK Tinggi Kajang di Selangor dan SMK Sains Tuanku Munawir di Seremban, Negeri Sembilan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Kemenangan itu membolehkan dua pelajar terbabit membawa pulang Piala Pusingan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta sebuah Teleskop Celestron Nextstar4SE dan wang tunai RM1,500.

Kejayaan dua pelajar terbabit turut diraikan pada majlis khas dan penyampaian sagu hati oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Khairul Ikmal Hakim, Rohizad dan Mohd Jazrinizad masing-masing menerima wang tunai RM500 disampaikan Nawawi.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi Marzuki Daud dan Pengetua SMK Langkawi Pulau Tuba, Johari Jaafar.

Ketika ditemui Khairul Ikmal Hakim berkata, dia dan rakannya Rohizad kini meneruskan latihan bagi memantapkan kemahiran untuk menghasilkan roket daripada botol minuman yang berkualiti dan memastikan tiada masalah ketika melakukan pelancaran roket ke udara.

"Insya-Allah kami akan memastikan kejayaan negara ketika beraksi pada pertandingan di Filipina kelak yang pastinya dibarisi peserta negara luar yang hebat belaka.

"Memang selepas muncul johan peringkat kebangsaan baru-baru ini, kami berdua mendapat jolokan 'Pakar Roket' dalam kalangan rakan-rakan di sekolah tapi itu semua menjadi motivasi kepada kami berdua," katanya ketika ditemui, di sini.

Pelajar Tingkatan Dua itu berkata, selepas mengharumkan nama Langkawi pada pertandingan roket peringkat negeri Julai, seterusnya mencipta nama peringkat kebangsaan pada akhir Ogos lalu, kini fokusnya adalah mahu mengharumkan pula nama negara di Filipina, November ini.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X