Jumaat, 9 September 2016 | 12:06am
JANET masih solo dan belum pernah mendirikan rumah tangga. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
JANET kini tampil menerusi lakonan terbaharu dalam drama Lara Aishah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pengikut laman sosial bukan penentu bayaran - Janet Khoo

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan pelakon menetapkan harga bayaran lakonan mengikut populariti dan jumlah pengikut masing-masing di laman sosial, aktres berpengalaman, Janet Khoo, pula tidak senang dengan amalan seperti itu.

Janet atau nama penuhnya Janet Khoo Kheng Hoon, 43, menyifatkan amalan berkenaan sekali gus merendahkan martabat dan kualiti seseorang pelakon, selain dilihat sebagai perkara yang tidak baik bagi industri seni tanah air dalam jangka masa panjang.

"Apabila perbincangan harga mengenai sesebuah tawaran lakonan diadakan, saya tidak akan cakap, 'lihatlah berapa banyak pengikut saya. Sesuai dengan harga yang saya minta.'

AKTRES berpengalaman, Janet Khoo. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Itu bukan caranya dan saya percaya kebanyakan pelakon senior lain tidak akan bercakap begitu kerana kami pentingkan kualiti dan hasil lakonan yang diberi.

"Jika produser kerap menetapkan harga pelakon berdasarkan pengikut di laman sosial, saya risau lama kelamaan karya seni tempatan akan hancur secara tidak langsung," katanya.

Sementara itu, Janet berkata, beliau adalah seorang daripada golongan minoriti yang tidak mengamalkan penggunaan laman sosial sebagai jalinan perhubungan dengan rakan dan peminatnya.

Kata pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Idaman ini, beliau lebih senang hidup dalam keadaan 'misteri', tanpa umum melihat cara kehidupan hariannya.

"Kehidupan harian adalah perkara yang sangat peribadi, sebab itu saya kurang gemar dengan penggunaan laman sosial.

"Dan, ini adalah jalan terbaik untuk diri saya agar masyarakat pun kurang tahu mengenai kehidupan harian saya. Kiranya, peminat tahu mengenai kerja-kerja lakonan saja," tuturnya.

JANET akui beliau adalah golongan minoriti yang tidak mengamalkan penggunaan laman sosial sebagai jalinan perhubungan dengan rakan dan peminatnya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dalam pada itu, diusik mengenai status dirinya, Janet berkata, beliau masih solo dan belum pernah mendirikan rumah tangga.

Mengakui berkawan dengan beberapa lelaki, namun Janet enggan terlalu memikirkannya dan lebih senang membiarkan jodoh ditentukan takdir.

"Saya ada ramai teman lelaki, tinggal nak dijodohkan saja. Mungkin belum tiba masanya. Lagipun, kalau hidup solo sekali pun saya tidak kisah.

"Apatah lagi apabila mendengar mengenai berita pasangan suami isteri yang bercerai, timbul juga rasa takut untuk berkahwin. Apapun saya terima sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh suatu hari nanti," tuturnya.

Tampil menerusi lakonan terbaharu dalam drama Lara Aishah yang menemui penonton sebuah saluran berbayar sejak 29 Ogos lalu, Janet menyifatkan naskhah daripada Global Station itu mempunyai kelainan.

"Ramai kawan seangkatan saya turut terbabit dalam drama rantaian ini seperti Jasmin Hamid, Datuk Eizlan Yusof dan Anne Abdullah.

"Ia juga sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton, dengan jalan ceritanya sukar dijangka," ujarnya mengenai drama yang turut menampilkan Fasha Sandha.

Berita Harian X