Jumaat, 9 September 2016 | 12:51pm

Kerber, Pliskova berentap di final Terbuka AS

ANGELIQUE Kerber (kiri) dan Karolina Pliskova.
ANGELIQUE Kerber (kiri) dan Karolina Pliskova.

NEW YORK: Angelique Kerber meraikan kejayaan merampas status pemain nombor satu dunia penuh bergaya apabila mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan Caroline Wozniacki 6-4, 6-3 dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang menjuarai Terbuka Australia pada Januari lalu dan muncul naib juara Wimbledon (Julai) adalah pemain Jerman pertama yang mara ke final di New York sejak Steffi Graf melakukannya pada 1996.

Dia bakal menyamai pencapaian Graf yang menjuarai Terbuka AS jika berjaya melepasi halangan pemain Republik Czech, Karolina Pliskova di pentasi final.

Graf juga satu-satunya pemain wanita Jerman yang berjaya menghuni ranking nombor satu dunia.

"Ia adalah sesuatu yang luar biasa berjaya mara ke final dan menjadi pemain nombor satu dunia, ia adalah sesuatu yang hebat," kata Kerber yang mara ke final tanpa tewas satu set sekalipun.

Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Kerber yang mencatat empat kemenangan dalam tujuh pertemuan dengan Pliskova tetapi lawannya itu sudah bermotivasi tinggi selepas menyingkirkan pilihan pertama, Serena Williams dalam aksi separuh akhir. - AFP

Berita Harian X