Jumaat, 9 September 2016 | 5:43pm

Astro lancar dokumentari khas 'Harimau Malaya 1980'

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (tengah), diringi Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro, Henry Tan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan ( dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada bekas ketua pasukan Harimau Malaya 1980, Datuk Soh Chin Aun pada Majlis Perlancaran Dokumentari Harimau Malaya 1980 di Studio 1 Astro. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Malaysia 16 September ini, Astro berbesar hati melancarkan sebuah dokumentari khas bertajuk 'Harimau Malaya 1980' bagi meraikan detik bersejarah pasukan itu dan wiranya.

Tayangan perdana 'Harimau Malaya 1980' adalah pada 16 September 2016, jam 9 malam menerusi dua saluran serentak, Astro Arena (Saluran 801 / Saluran HD 802), Astro Supersport HD (Saluran 831) dan juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro on the Go.

Turut sama hadir bagi meraikan barisan ikon sukan bola sepak tanah air di majlis pelancaran hari ini adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan.

'Harimau Malaya 1980' adalah inisiatif Astro untuk memaparkan kisah pasukan bola sepak kita pada tahun 1980 (atau lebih dikenali sebagai pasukan impian/dream team) yang melalui pelbagai cabaran untuk mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Buat julung-julung kalinya, selepas 36 tahun, skuad ini kembali disatukan dengan tujuan untuk menjayakan penerbitan dokumentari ini.

Ia turut menyaksikan beberapa sesi temuramah istimewa bersama legenda bola sepak tanah air seperti Dato' Soh Chin Aun, Hassan Sani, James Wong, Datuk Santokh Singh; jurulatih, Karl-Heinz Weigang; bekas pengulas sukan veteran; Zulkarnain Hassan; ahli keluarga pemain yang tidak lagi bersama dengan kita, dan bekas Menteri Luar Negeri, Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail.

Dokumentari ini turut menyorot kembali detik indah pemain, saat suka dan duka, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan sehingga melayakkan diri bertanding di Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980.

Berita Harian X