Jumaat, 9 September 2016 | 5:56pm

James masih 'terluka' tak dapat beraksi di Moscow

KUALA LUMPUR: Penjaring gol kemenangan Malaysia ke atas Korea Selatan ketika perlawanan akhir kelayakan Olimpik 1980, James Wong mengakui masih "terluka" dengan kegagalan beraksi di temasya di Moscow, Russia itu.

Lebih memeritkan kegagalan itu bukan disebabkan skuad Harimau Malaya yang dikendali Karl Heinz Weigang tidak layak ke Olimpik, tetapi kerana keputusan kerajaan menyertai boikot Amerika Syarikat ke atas Russia ketika itu.

"Kekecewaan paling besar ialah tidak pergi ke Olimpik kerana sebagai pemain, saya rasa ini adalah kemuncak karier bola sepak anda. Anda mahu mencapai tahap tertinggi. Pergi ke Moscow adalah impian kami.

"Sehingga hari ini, saya masih berdarah. Setiap kali saya melihat acara pembukaan temasya Olimpik, ia menyedihkan saya kerana saya mengimpikan untuk berada di sana," kata James ketika sesi soal jawab pada majlis pelancaran dokumentari Harimau Malaysa 1980 di ibu negara pagi tadi.

Luahan James itu senada dengan bekas rakan sepasukan yang turut hadir pada majlis berkenaan, antaranya Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, Hassan Sani dan Bakri Ibni.

Dokumentari keluaran Astro itu yang bakal disiarkan pada 16 September ini bersempena Hari Malaysia turut mengiktiraf kejayaan pasukan Harimau Malaya atau 'Dream Team' yang layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Harimau Malaya 1980 akan disiarkan menerusi saluran Astro Arena saluran 801 atau 802 HD, SuperSport 810 (831 HD) dan Astro on the Go pada jam 9 malam.

Berita Harian X