Jumaat, 9 September 2016 | 9:41pm

Sekurang-kurangnya 76 rumah rosak akibat ribut

 LEBIH 76 buah rumah termasuk 49 rosak teruk membabitkan 395 penduduk selepas kediaman mereka di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang dilanda ribut. - Foto Fahd Rahmat
LEBIH 76 buah rumah termasuk 49 rosak teruk membabitkan 395 penduduk selepas kediaman mereka di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang dilanda ribut. - Foto Fahd Rahmat

PASIR GUDANG: Lebih 70 rumah rosak dalam kejadian ribut menyebabkan kira-kira 400 penduduk terjejas, dalam kejadian di Kampung Pasir Putih, dekat sini petang tadi.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, manakala jumlah sebenar kerugian dialami penduduk masih disiasat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru, Leftenan (PA) Mohd Aziz Jupri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sebelum menghantar anggota bagi membantu penduduk.

"Berdasarkan laporan, hujan lebat dan angin kencang berlaku kira-kira jam 3 petang menyebabkan banyak bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.

"Setakat ini 70 rumah dilaporkan rosak dan proses pendaftaran masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar rumah yang rosak dan penduduk terbabit. Selain itu tiada laporan kecederaan atau kematian dilaporkan akibat kejadian ribut," katanya.

Sementara itu, penduduk, Muhamad Azwan Mohd. Arsad, 23, berkata, kejadian yang berlaku selepas solat Jumaat menyebabkan sebahagian bumbung dan dinding rumahnya dan penduduk lain diterbangkan ribut.

"Sebelum ribut, saudara mara saya sedang sibuk membuat persiapan untuk kenduri meraikan perkahwinan saya pada esok. Turut diadakan pada ketika itu ialah majlis tahlil buat arwah bapa mentua saya.

"Bagaimanapun secara tiba-tiba, angin begitu kuat sehingga menyebabkan bumbung dan khemah di luar rumah kami berterbangan. Saya lega kerana semua ahli keluarga sempat masuk ke dalam rumah dan tiada yang mengalami sebarang kecederaan.

"Ribut berlaku kira-kira tujuh minit sahaja. Dalam keadaan kelam kabut itu, seorang ahli keluarga saya sempat melaungkan azan sebelum ribut terus reda," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Putih, Bachok Nohang, berkata pihaknya membuka kaunter pendaftaran di Dewan Kampung Pasir Putih bagi membolehkan mangsa membuat laporan mengenai kerosakan rumah masing-masing.

Katanya, pihaknya juga sudah melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan bantuan sewajarnya disalurkan.

Selain itu pihaknya turut meminta mangsa ribut membuat laporan polis secepat mungkin bagi membolehkan penyaluran bantuan berjalan lancar.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X