Sabtu, 10 September 2016 | 12:14am
ENJIN yang dipasang pada basikal model Beach Cruiser berkuasa 49 cc. - Foto Samadi Ahmad
MOPED atau motosikal dengan pedal pengayuh. - Foto Samadi Ahmad

Dua liter petrol capai jarak 70 kilometer


SABAK BERNAM: Moped atau motosikal dengan pedal pengayuh, dilengkapi tangki minyak bujur kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan peminat di negara ini.

 

Tangki bujur dikenali sebagai 'roundtank' itu, pernah menjadi antara komponen utama pelbagai jenama motosikal dunia pada awal abad ke-19.

Penampilannya yang tidak luput ditelan zaman, membuatkan ia menjadi buruan peminat kenderaan klasik, selain kegilaan orang ramai yang mahukan tunggangan kelihatan antik tetapi praktikal untuk kegunaan harian.    

Memanfaatkan minat itu, pengusaha kedai basikal terpakai di sini, Mazlan Abdul Rahman, mengubahsuai basikal jenis 'beach cruiser' dengan memasang enjin dan tangki minyak berbentuk bulat hingga mendapat sambutan menggalakkan.

 

Mazlan, 50, juga seorang mekanik, yang menceburi usaha itu sejak 2012,  berkata komponen enjin yang diimport sebagai barangan lusuh untuk kitar semula dari Jepun itu, perlu dibaik pulih sebelum dijual kepada pelanggan.

PENGUSAHA motosikal dengan pengayuh (moped), Mazlan Abdul Rahman di kedainya di pekan Sabak Bernam, Selangor. - Foto Samadi Ahmad

PENAMPILAN moped yang tidak luput ditelan zaman mendorong ia menjadi buruan peminat kenderaan klasik. - Foto Samadi Ahmad

Katanya, beliau mendapati enjin berkuasa 49cc itu sesuai dipasang pada basikal jenis Beach Cruiser yang dilengkapi tayar 26 inci kerana menampilkan gaya lebih klasik.

"Saya tidak ubah suai komponen enjin asal kecuali bahagian ekzos serta kerosakan atau karat yang perlu dibaiki dan ditukar.

"Biasanya, saya akan mengecat basikal terlebih dahulu, bergantung warna pilihan pelanggan supaya kelihatan lebih cantik dan menawan sebelum dipasang enjin yang sudah siap dibaik pulih.

"Cara menghidupkannya pula sangat mudah, pengguna hanya perlu mengayuh kenderaan ini seperti basikal terlebih dahulu sebelum menarik tuil klaj sambil memasang gear menyebabkan enjin ini hidup serta merta," katanya.

Mazlan berkata, tangki bujur yang dipasang pada basikal terbabit mampu mengisi sehingga kira-kira dua liter petrol yang bertahan bagi perjalanan sejauh 70 kilometer (km).

MOPED dilengkapi tangki minyak retro klasik berbentuk bujur atau 'roundtank'. - Foto Samadi Ahmad

SETIAP 'moped roundtank' diubah suai Mazlan dijual pada harga antara di antara RM1,500 sehingga mencecah RM2,500 seunit. - Foto Samadi Ahmad

Berkongsi pengalamannya, bekas pelajar Sekolah Menengah Tengku Abdul Rahman Putra (STARP), Sabak Bernam itu, berkata beliau pernah menceburi perniagaan komputer sebelum ini tetapi gagal kerana banyak saingan.

Justeru itu, beliau kembali kepada minatnya terhadap riadah berbasikal, yang menjadi kenderaan utama di kampungnya, sebagai punca pendapatan dan ternyata pilihannya tepat sekali apabila perniagaan berkembang pesat.

Mazlan, yang pernah mendapat pendidikan dalam jurusan perniagaan ketika menuntut di Univerisiti Teknologi MARA (UiTM) Petaling Jaya suatu masa dahulu, kini mampu memasarkan lebih 10 buah 'moped roundtank' setiap bulan.

Setiap 'moped roundtank' yang disiapkan itu dijualnya pada harga antara RM1,500 hingga RM2,500 seunit, bergantung mutu basikal dan jenis pengubahsuaian yang diminta pelanggan.

Pelanggan yang membeli basikal itu memanfaatkan kenderaan terbabit untuk urusan harian sekitar kampung atau bersantai pada hujung minggu.

Berita Harian X