Sabtu, 10 September 2016 | 12:27pm

Mayat lelaki hampir reput ditemui

ANGGOTA forensik memeriksa mayat seorang lelaki yang ditemui di Sungai Klang berhampiran Taman Angkasa, Batu 6 1/2 Jalan Puchong, di sini, pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Satu mayat lelaki dewasa yang kembung dan hampir reput ditemui di Sungai Klang, berhampiran Taman Angkasa, Batu 6 1/2 Jalan Puchong di sini, pagi tadi.

Mangsa dipercayai rakyat tempatan berbangsa India dan lengkap berpakaian itu, ditemui tersangkut pada batu oleh orang awam pada jam 7.16 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata mayat dipercayai berada dalam air sejak dua hari lalu sebelum ditemui.

"Ketika ditemui, mayat berkeadaan terlangkup, berpakaian baju T berwarna biru, berseluar jeans dan bertali pinggang hitam.

"Pemeriksaan mendapati ada kesan darah di mulut dan hidung mangsa, manakala fizikalnya mengembang tetapi tiada pengenalan diri ditemui," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sharul Othman berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata empat anggota dari Balai Bomba Bukit Jalil digerakkan ke lokasi bagi membantu polis mengangkat mayat sejurus menerima panggilan pada jam 7.49 pagi dan tiba pada jam 8.10 pagi.

Katanya, bomba mengambil masa hampir sejam sebelum membawa keluar mangsa dari sungai terbabit dan menyerahkannya kepada polis.

Berita Harian X