Sabtu, 10 September 2016 | 12:44pm

Lebih 15,000 graduan Sarawak menganggur - KM


KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Mohd Radzi Bujang

MIRI: Lebih 15,000 graduan di Sarawak gagal mendapat tawaran peluang pekerjaan berikutan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, berkata ramai graduan universiti dari Sarawak belum bekerja dan situasi itu amat merugikan.

Justeru, beliau meminta Kerajaan Persekutuan memberikan autonomi dari segi pendidikan untuk membolehkan tumpuan diberi terhadap pembelajaran bahasa Inggeris.

"Ada kemungkinan antara 15,000 hingga 20,000 graduan menjadi penganggur di negeri ini kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.

"Kita minta Kerajaan Persekutuan tambah peruntukan untuk menyediakan infrastruktur lebih baik kepada sekolah di Sarawak," katanya pada majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Jadi Ke-80, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, di Stadium Miri, pagi tadi.

Lebih 5,000 peserta daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak menyertai acara itu.

Berita Harian X