Sabtu, 10 September 2016 | 8:15pm

Seorang terbunuh, seorang parah dalam kemalangan di Salor


eadaan sebuah dari tiga kenderaan termasuk pacuan empat roda dan lori yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan dua parah di Kampung Pak Limah, Pasir Mas. - Foto ihsan Bomba Kelantan

KOTA BHARU: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan di Kampung Pak Limah, Pasir Mas Seberang Salor, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Kejadian berlaku membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Iswara yang menuju ke arah Pasir Mas; kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger dan sebuah lori pikap.

Mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara, Sabri Ibrahim, 40, meninggal kira-kira jam 4.50 petang tadi ketika dirawat di Hospital Lati, Pasir Mas, manakala pemandunya, Shahrizal Nordin, 37, dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini.

Difahamkan sebaik sampai ke lokasi kejadian, kereta Proton Iswara yang dinaiki dua lelaki itu hilang kawalan dan melanggar kenderaan Ford Ranger dari arah bertentangan.

Lori pikap yang berada di belakang pacuan empat roda itu tidak sempat membrek lalu melanggar Ford Ranger di hadapannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Nazri A Wahab, berkata Shahrizal mengalami patah paha kanan, manakala Sabri cedera di kepala.

Berita Harian X