Ahad, 11 September 2016 | 10:52pm

Najib ucap tahniah kejayaan skuad skuasy

LAMAN twitter Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada skuad berpasukan campuran negara yang dinobatkan juara pada Kejohanan Skuasy Universiti Dunia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Perdana Menteri menyifatkan kejayaan pasukan negara itu sebagai satu lagi berita baik dalam sukan tempatan selepas dua atlet olahraga paralimpik menyumbang pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, pada Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia).

"Satu lagi berita baik kejayaan dalam sukan. #MAS telah menjadi juara berpasukan Kejohanan Skuasy Universiti Dunia! Cemerlang Malaysia, tahniah!," kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Twitternya.

Skuad berpasukan campuran negara melakar sejarah apabila dinobatkan juara selepas menewaskan Hong Kong 2-1 di final hari ini yang juga kejayaan sulung Malaysia dalam sejarah kejohanan itu.

Ia adalah pingat emas kedua negara di kejohanan itu selepas Low Wee Wern menyumbang emas pertama dalam acara perseorangan wanita Khamis lepas.

Selain itu, Malaysia turut meraih satu perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi Ivan Yuen (perseorangan lelaki) dan Nazihah Hanis Abd Razak (perseorangan wanita).

-- BERNAMA

Berita Harian X