Isnin, 12 September 2016 | 1:38pm

Pelancong Singapura jalankan ibadah korban


PENDUDUK kampung dan sebahagian pelancong dari Singapura melihat lembu yang akan disembelih pada Program Koban D'Terengganu sempena Hari Raya Aidil Adha yang diadakan di Balairaya Teluk Ketapang - Foto Rozainah Zakaria

KUALA NERUS: Seramai 100 pelancong dari Singapura yang berada di negeri ini, turut melakukan ibadah korban melalui program Korban Pelancongan.

Ibadah korban yang julung kali dianjurkan kerajaan negeri dan beberapa agensi pelancongan Singapura itu diadakan di dua lokasi di negeri ini membabitkan tujuh ekor lembu.

Pegawai daripada Jalaluddin Travel & Services, Ellia A Rahman berkata, seramai 100 pelancong Islam dari Singapura bersetuju memilih Terengganu sebagai lokasi melakukan ibadah korban tahun ini.

Katanya, walaupun promosi program korban pelancongan hanya diadakan dalam tempoh sebulan, tetapi ia berjaya menarik minat masyarakat Islam di Singapura melakukan ibadah korban.

"Program korban pelancongan itu dicetuskan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman ketika aktiviti 'Beautiful Terengganu' yang diadakan selama empat hari di Singapura mulai 11 hingga 14 Ogos lalu.

"Alhamdulillah, melalui promosi diadakan, kita berjaya menarik 100 umat Singapura menyertai ibadah korban hari ini," katanya ketika ditemui di Homestay Teluk Ketapang, di sini, hari ini.

Berita Harian X