Isnin, 12 September 2016 | 8:09pm

Waris mangsa MH370 mahu lebih serpihan pesawat diteliti


PEMBURU serpihan dari Amerika Syarikat, Blaine Gibson. - Foto AFP

CANBERRA: Waris sebahagian daripada 239 penumpang dan kru pesawat yang hilang MH370 meminta lebih banyak serpihan kapal terbang berkenaan diteliti bagi mengesan kawasan pencarian terbaharu.

Malaysia, China dan Australia bersetuju pada Julai lalu supaya pencarian di selatan Lautan Hindi ditangguhkan selepas kawasan pencarian mencapai 120,000 kilometer persegi (46,000 batu persegi) dilaksanakan dengan peralatan sonar dasar laut tetapi bukti kukuh terbaharu belum ditemui bagi mengesan lokasi pesawat malang berkenaan.

Lapan saudara mara kepada penumpang yang hilang bertemu dengan pegawai Australia yang menyelaraskan pencarian bagi pihak Malaysia, meluahkan kekecewaan kerana mereka tidak diberikan penjelasan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan bukti baharu kukuh yang membolehkan pencarian diteruskan.

Pemburu serpihan dari Amerika Syarikat, Blaine Gibson menghadiri pertemuan di ibu pejabat Biro Keselamatan Pengangkutan Australia bersama dengan waris dari Malaysia, China, Australia dan Indonesia serta menyerahkan lima keping serpihan yang berpotensi kepada penyiasat yang ditemuinya di pantai di Madagascar.

Katanya, dua serpihan terbabit hangus, yang mungkin akibat kebakaran dalam pesawat berkenaan.

Gibson sebelum ini menemui sekeping panel dari pesawat MH370 di Mozambique.

Malaysia masih belum mengutip satu lagi serpihan berpotensi yang Blaine temui terdampar di Madagascar sejak Jun dan menyerahkan kepada pihak berkuasa di sana.

"Saya harap pencarian akan diteruskan dan pada pendapat saya ini membentuk bukti baharu dan kukuh yang dapat mewajarkan pencarian ini diteruskan," kata Gibson kepada wartawan berkaitan serpihan yang belum disahkan.

Sebahagian serpihan yang disahkan dibadai ke pantai di barat Lautan Hindi dan waris mangsa percaya barang lain yang masih belum diteliti mungkin memberi petunjuk kepada lokasi kapal terbang terbabit. - AP

36 dibaca
Berita Harian X