Selasa, 13 September 2016 | 9:44am

6 maut, 3 cedera nahas 3 kereta

KEADAAN kenderaan mangsa yang terbabit dalam kemalang di Kilometer 7, Jalan Gemas-Tampin berhampiran simpang ke Pasir Besar, Gemas, malam tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kenderaan mangsa yang terbabit dalam kemalang di Kilometer 7, Jalan Gemas-Tampin berhampiran simpang ke Pasir Besar, Gemas, malam tadi. - Foto ihsan bomba

GEMAS: Enam maut, termasuk dua beranak, manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 7, Jalan Gemas-Tampin berhampiran simpang ke Pasir Besar, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan guru sekolah agama yang memandu PERODUA Kenari, Rosilah Maamor, 40 dan anaknya Fawwaz Ahmad Syahraizan, 9, meninggal dunia akibat cedera parah.

Turut maut, pemandu PROTON Wira, yang juga guru KAFA, Muhammad Hazreen Saadon, 22 dan tiga penumpang Mohamad Haizal Muhamad Radzi, 20; Muhamad Rizuwan Abdullah, 19 dan Muhammad Mu'az Muhamad, 13.

"Dua penumpang kereta sama cedera parah iaitu Mohd Naimullah Che Roselee, 13 dan Muhammad Aiman Abdullah, 14, manakala pemandu Toyota Avanza, yang juga Imam Masjid Jamek Gemas, Ahmad Syahraizan Omarudin, 40, hanya cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati, PROTON Wira dari arah Gemas ke Tampin, terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh PERODUA Kenari dan kemudian kereta itu merempuh Toyota Avanza," katanya, di sini, hari ini.

Hamazah berkata, pemandu PERODUA Kenari adalah isteri kepada Ahmad Syahraizan yang memandu Toyota Avanza di belakang kenderaan itu.

Katanya, semua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tampin dan Hospital Segamat, Johor, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X