Selasa, 13 September 2016 | 4:35pm

Farahdhiya sambut Aidiladha di hospital

KUALA LUMPUR: Demi kasih sayangnya kepada bapa tercinta, penyanyi Farahdhiya, menyambut Hari Raya Aidiladha di hospital.

Menurut wanita yang turut dikenali sebagai pelakon itu, sejak Jumaat lalu beliau menemani bapanya, Mohd Amin Zubir, yang berdepan masalah paru-paru atau Pneumothorax.

Beliau berkata, ini kali ketiga bapanya menghidap penyakit terbabit dengan serangan kali pertama berlaku kira-kira sembilan tahun lalu dan kali kedua, awal tahun ini.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana ayah saya tidak mempunyai penyakit kronik lain.

"Kebetulan, ibu saya ketika ini berada di England dan beliau pula takut untuk menaiki kapal terbang. Perancangan saya untuk ke sana juga asyik tidak menjadi kerana saya rasa kurang selesa untuk meninggalkan ayah dalam keadaan tak sihat.

"Biarpun terpaksa beraya di hospital, mujurlah ada mak cik dan kawan yang bermurah hati membawa makanan seperti rendang serta ketupat. Jadi, dapatlah juga kami merasai nikmat raya," katanya.

Tambah Farahdhiya, penyakit paru-paru dialami bapanya berpunca daripada kesan jangka panjang akibat merokok.

"Sekitar empat tahun lalu, beliau pernah berhenti merokok selepas mendapat serangan jantung. Bagaimanapun, ayah kembali merokok selepas itu. Sejak dua tahun lalu, beliau kembali berhenti merokok apabila tahap kesihatannya mula merosot," katanya.

Dalam perkembangan lain, wanita ini rancak mempromosikan single baharu berjudul Milikku Abadi ciptaan Tam Spider, manakala liriknya hasil tulisan Keon.

"Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan merakamkan sebuah lagi lagu baharu," kata naib juara Gegar Vaganza musim kedua ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X