Khamis, 15 September 2016 | 1:38pm

UMNO Kelantan agresif daftar ahli sebagai pemilih


Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: UMNO Kelantan mengenal pasti seramai 6,806 ahli parti itu belum mendaftar sebagai pemilih.

Berikutan itu, Jawatankuasa Biro Keahlian dan Daftar Pengundi Baharu UMNO negeri mengarahkan semua UMNO bahagian mendaftarkan ahli berkenaan sebelum akhir bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Rosdi Ab Aziz, berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan sebelum Aidiladha lalu supaya semua UMNO Bahagian melaksanakan program mendaftar ahli berkenaan.

"Perkara ini mendapat persetujuan Badan Perhubungan UMNO negeri dengan tempoh menyelesaikan daftar pemilih baharu di kalangan ahli UMNO diselesaikan pada akhir September ini.

"Kita yakin 6,806 ahli yang belum berdaftar sebagai pemilih ini akan dapat diselesaikan pendaftaran mereka dalam tempoh ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.         

Minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta kepemimpinan UMNO di semua peringkat mengenal pasti lebih 120,000 ahli parti di seluruh negara untuk didaftar sebagai pemilih dalam masa terdekat. 

Berita Harian X