Khamis, 15 September 2016 | 4:29pm
NABILA Huda.

Nabila Huda teruja jadi wartawan

NABILA Huda bersama suami, Mohd Izwan Johar pada malam Filem Festival Malaysia ke-28 (FFM28) di Kuala Lumpur, 3 September lalu. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR : Aktres, Nabila Huda menegaskan gelaran Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) sebagai pemangkin untuknya memberikan hasil kerja lebih bagus, bukan leka dibuai pujian.

Katanya, rezeki yang datang selepas membawa pulang trofi yang didambakan ramai anak seni lain itu diharap berterusan kerana dia masih Nabila yang dulu tanpa mengenal istilah memilih mahu pun 'naik harga'.

Nabila, 32, berkata pada masa sama dia kini semakin teruja apabila diberi peluang buat pertama kali memegang watak wartawan menerusi filem Tombiruo yang dirasakan cabaran besar untuk menjiwai karakter terbabit.

"Saya memegang watak sebagai Wan Suraya selaku wanita berkerjaya wartawan. Buat julung kali saya menggalas watak sebegitu yang memerlukan saya mendapatkan bantuan rakan media sebagai sumber rujukan.

"Antara cabaran membawakan watak berkenaan adalah babak melaporkan semula sesuatu insiden dengan memastikan segala fakta disebut dengan tepat. Setiap maklumat dan latar belakang tepat juga perlu diselitkan supaya tidak kelihatan janggal.

"Harapan saya orang ramai menyukai sisi Wan Suraya bersama gandingannya Amiruddin dan Tombiruo. Berbeza rasanya suasana bekerja bersama produksi ini yang kami anggap satu sama lain sebagai keluarga," katanya yang kini sudah memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur.

Tombiruo adalah filem yang diadaptasi daripada karya penulis novel thriller dan prolifik tanah air, Ramlee Awang Murshid yang dijadualkan berada di pawagam tahun depan.

Selain Nabila, filem ini membariskan Zul Ariffin, Farid Kamil, Faizal Hussein, Datuk M Nasir, Datin Marlia Muda, Dynas Mokhtar, Hasnul Rahmat, Faye Kusairi, Artu, Micheal Chen, Farah Ahmad, R Azmi Ismail dan Muhammad Rayyan.

Berita Harian X