Khamis, 15 September 2016 | 5:24pm

Fauziah terima anugerah iktiraf kerjaya seni 30 tahun

FAUZIAH ketika menerima anugerah di Genting Highlands, baru-baru ini.
FAUZIAH ketika menerima anugerah di Genting Highlands, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Tiga dekad mewarnai dunia hiburan, Fauziah Latiff, 45, melakar sejarah peribadi apabila menerima Anugerah Master Class ASEAN 2016 bagi kategori Persembahan Terbaik Artis di Genting Highlands, Pahang 9 September lalu.

Penganugerahan berkenaan diadakan sempena acara ASEAN Outstanding Business Award 2016 yang berlangsung di pusat peranginan terbabit.

Sambil menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan terbesar terhadap kerjaya seninya, Fauziah atau lebih mesra disapa Jee berkata, trofi berkenaan ditujukan buat insan tersayang yang banyak membantunya untuk berada pada kedudukan hari ini.

"Alhamdulillah, saya panjatkan syukur atas penganugerahan ini. Dalam erti kata lain, ia pengiktirafan daripada pihak terbabit terhadap kerjaya seni saya yang berlangsung selama tiga dekad.

"Anugerah ini ditujukan buat arwah bapa yang selama ini banyak membantu saya untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya. Mungkin ramai yang sudah sedia maklum akan kesungguhan arwah bapa untuk memastikan saya berada pada kedudukan sekarang," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

FAUZIAH Latiff atau lebih mesra disapa Jee.
FAUZIAH Latiff atau lebih mesra disapa Jee.

Menurut penyanyi yang sedang meletup dengan lagu Takdir Cinta ini, anugerah berkenaan juga dianggap sebagai pembakar semangat untuknya terus memberikan yang terbaik buat peminat, yang selama ini setia menyokong kerjaya seninya.

Sepanjang tiga dekad bergelar anak seni, penyanyi ini menghasilkan lebih 20 album dan banyak lagu nyanyiannya berjaya menawan hati peminat seperti Kau Merubah Segalanya, Teratai Layu Di Tasik Madu dan Apa Sebenarnya.

Berita Harian X