Khamis, 15 September 2016 | 8:10pm

Baki pakej kerja MRT SSP akan diagihkan


PROJEK MRT di Pekan Kajang. - Foto Azhar Ramli

PUTRAJAYA: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan mengagihkan baki pakej kerja laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT SSP) bernilai lebih RM8 bilion secara berperingkat tidak lama lagi.

Sehingga ini, MRT Corp sudah menganugerahkan 23 pakej kerja MRT SSP bernilai RM24 bilion kepada kontraktor daripada keseluruhan 73 pakej kontrak pembinaan projek sejauh 52.2 kilometer itu.

Pengarah Projeknya, Datuk Amiruddin Maaris, berkata berdasarkan nilai projek, sebahagian besar kontrak kerja utama sudah diagihkan termasuk yang terbesar RM15.47 bilion untuk pakej kerja bawah tanah.

Walaupun berbaki lebih RM8 bilion, katanya, pakej kerja yang belum dianugerahkan itu masih banyak kerana nilai pakejnya tidak besar seperti pakej bertingkat, pembinaan stesen dan bangunan parkir 'park and ride' bertingkat.

"Bagi setiap pakej kerja MRT SSP yang diagihkan, kami menetapkan kos tetap supaya pendedahan kos pembinaan kepada ketidaktentuan mata wang ringgit dapat dikawal dan risikonya dikurangkan.

"Meskipun 100 peratus pakej kerja sivil diberikan kepada syarikat tempatan, namun untuk sistem kita perlu lakukan penyumberan kepada syarikat luar yang mengadakan kerjasama atau usaha sama dengan syarikat tempatan.

"Kebetulan masa menganugerahkan pakej sistem, Malaysia berdepan ketidaktentuan ringgit sehingga memberi kesan kepada kos apabila pembida memasukkan risiko ketidaktentuan ringgit dalam bidaan," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Projek MRT SSP di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah projek MRT SSP bernilai RM32 bilion itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Projek itu jajaran kedua selepas laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Bahagian Pengurusan Aset MRT Corp, Mahmood Abdul Razak berkata, ruang runcit di kawasan MRT sudah habis disewa, manakala bahagian pengiklanan pula akan dianugerahkan tidak lama lagi.

Justeru, katanya, apabila MRT Sungai Buloh Kajang (MRT SBK) memulakan operasi nanti, semua aktiviti komersial akan sedia beroperasi dan mula menjana pendapatan kepada syarikat.

Berita Harian X