Isnin, 24 November 2014 | 1:56pm

Pusat Perubatan Mini disediakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014

KUALA LUMPUR: Sebuah Pusat Perubatan Mini dengan kelengkapan setanding unit kecemasan hospital kini beroperasi dan bersiap sedia untuk menerima sebarang kes kecemasan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014.

Ketua Penyelaras Pasukan Perlindungan Perubatan PAU, Dr Izzat Ismail berkata, pusat perubatan itu diwujudkan bagi menambah baik perkhidmatan rawatan dan kecemasan berbanding tahun lepas.

Ia dibuka serentak bermula hari ini kepada perwakilan dan orang ramai yang hadir ke perhimpunan agung itu yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini.

Pusat perubatan mini itu ditempatkan di Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dua 'Klinik Satelit' di Aras 2 serta 3 yang boleh menampung 20 pesakit pada satu-satu masa sebagai rawatan awal sebelum dihantar ke mana-mana hospital.

"Pada tahun lepas kami merawat 108 pesakit yang kebanyakannya kes sakit jantung, sakit dada, darah tinggi, kencing manis dan sakit kepala.

"Pembukaan pusat perubatan mini ini adalah bagi membantu pesakit mendapat rawatan awal sebelum dihantar ke mana-mana hospital untuk rawatan lanjut jika perlu," katanya.

Dr Izzat berkata, pusat perubatan itu dilengkapi kemudahan perkakasan rawatan seperti 'Vital Sign Monitor', Mesin Bantuan Hayat (Defibrillator), 'Electrocardiogram' dan Mesin Bantuan Pernafasan (Ventilator).

Sepuluh pegawai perubatan dan 70 jururawat ditugaskan sempena perhimpunan itu selain pasukan 'Rapid Response Team' iaitu pasukan kecemasan untuk merawat pesakit di lokasi.

"Ia juga merupakan antara penambahbaikan yang kami laksanakan, unit kecemasan ini telah ditempatkan di beberapa kawasan strategik di dalam bangunan PWTC dan mereka akan jadi pasukan respons pertama kami untuk terus ke lokasi pesakit dan mereka akan lihat apakah kecederaan dan laksanakan rawatan terus di lokasi," katanya.

Unit kecemasan juga menyediakan empat buah ambulans untuk menghantar pesakit ke mana-mana hospital sekiranya memerlukan rawatan lanjut.

Selain perkhidmatan rawatan dan kecemasan yang lengkap, Pasukan Perlindungan Perubatan PAU juga akan memberi pemeriksaan kesihatan mata dan gigi secara percuma kepada orang ramai yang menghadiri perhimpunan ini.

Sejumlah 5,739 perwakilan Umno dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan agung parti itu di PWTC bermula esok hingga 29 November.

Selain itu, 1,452 petugas media daripada 106 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baharu termasuk blogger serta portal berita dalam talian sudah mula melaporkan perjalanan PAU 2014 dari Laman Media, PWTC. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X