Sabtu, 17 September 2016 | 12:13pm

Lelaki sesat 8 jam ditemui selamat

Chua Lee Heng, 58, di beri rawatan selepas beliau sesat dalam hutan Bukit Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto ihsan Bomba

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang sesat ketika mendaki di Bukit Cheruk Tok Kun di sini, petang semalam, ditemui selamat oleh pendaki yang membantu operasi menyelamat bersama anggota bomba, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata Chua Lee Heng, 58, ditemui keletihan selepas sesat hampir lapan jam di bukit berkenaan.

Katanya, seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.13 malam tadi.

"Sebaik tiba, anak mangsa memaklumkan bapanya naik ke bukit berkenaan pada petang dan dikatakan tersasar dari laluan mendaki hingga tidak dapat mencari jalan turun ke kaki bukit.

"Bapanya turut menghantar lokasi kedudukan melalui sistem kedudukan global (GPS), selain memberitahu dia selamat," katanya.

Katanya, operasi menyelamat diteruskan dengan membunyikan siren jentera dan menyalakan lampu supaya mangsa mencari jalan turun tetapi gagal.

Berikutan itu, operasi dimulakan dengan mencari mangsa di lereng hingga puncak bukit dengan bantuan pendaki sebelum mangsa ditemui selamat pada jam 4.56 pagi dalam keadaan kepenatan," katanya.

Difahamkan, ia adalah kejadian kedua selepas seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dilaporkan sesat mendaki bukit sama pada Rabu lalu.

Berita Harian X