Sabtu, 17 September 2016 | 2:31pm

Nur Syuhaida raih emas kedua berturut-turut


Nur Syuhaida (tengah) menaiki podium tempat pertama bersama ibu, Rosida Abd Mutalib (belakang) dan bapanya, Mohammad Suhaimi (depan) serta pemenang dan ahli keluarga tempat kedua dan ketiga.

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak berjaya menggondol emas kali kedua berturut-turut apabila memenangi acara kriterium kategori kanak-kanak perempuan bawah 9 tahun pada Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.

Nur Syuhaida Mohammad Suhaimi, 8, dari Ampang, Kuala Lumpur sebelum ini mengungguli tempat pertama acara itu di JCM Johor Bahru pada 12 Ogos lalu.

Ibunya, Rosida Abd Mutalib, 45, berkata dia bersama suami, Muhammad Suhaimi Mohammad, 50, menanam minat anak mereka untuk berbasikal sejak berusia 3 tahun.

"Hampir setiap hari, anak bongsu dari lima adik beradik itu selalu dibawa mengayuh basikal sekitar kawasan rekreasi di Kuala Lumpur.

"Pada mulanya aktiviti berbasikal hanyalah untuk bersenam, tetapi apabila JCM dianjurkan ia memberi peluang kepada anak saya untuk menyertai pertandingan ini.

"Selepas lima kali penyertaan, akhirnya Nor Syuhaida dapat meraih emas di Johor dan di Kedah hari ini," katanya ketika ditemui selepas Kejohanan JCM di Dataran Menara Alor Setar di sini, hari ini.

Sementara itu, Nur Syuhaida berkata dia sangat teruja apabila dapat memenangi emas bagi acara berkenaan.

"Tanpa pengorbanan dan kesungguhan kedua ibu bapanya yang sanggup berbelanja besar untuk membeli basikal termasuk untuk tiga lagi abangnya yang turut menyertai pertandingan itu, sudah pasti emas bukan miliknya.

"Saya akan menyertai pertandingan yang sama di Putrajaya bulan depan. Saya mahu jadi atlet sukan basikal yang terkenal suatu hari nanti seterusnya dapat mewakili negara ke peringkat antarabangsa," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X