Sabtu, 17 September 2016 | 4:26pm

Mat motor 'berpeluh' kena tahan

SUNGAI BULOH: Lebih 100 penunggang motosikal 'berpeluh' kerana terpaksa menolak motosikal masing-masing sejauh lebih lima kilometer (km) selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie, di sini, awal pagi tadi.

Menerusi operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan samseng jalanan oleh pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman itu, seramai 116 penunggang motosikal ditahan untuk diperiksa.

Operasi bermula jam 1 pagi menyaksikan semua yang ditahan menolak motosikal masing-masing ke Plaza Tol Elmina dengan diiringi beberapa kereta peronda polis (MPV) bagi pemeriksaan lanjut.

Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Selangor, Asisten Superintendan Mohd Suwardi Mat Desa, berkata 41 motosikal disita dan 87 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan utama adalah menunggang motosikal tanpa lesen, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan mengubah suai ekzos motosikal.

"Kita turut menahan dua penunggang selepas mendapati motosikal mereka adalah kenderaan curi manakala satu lagi tangkapan membabitkan nombor enjin motosikal cuba diubah," katanya di sini, awal pagi tadi.

Katanya, lapan individu turut ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya, termasuk secara menongkah arus.

"Motosikal mereka disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

"Seramai 16 penunggang menjalani ujian saringan air kencing untuk mengesan penyalahgunaan dadah tetapi kesemua didapati negatif," katanya.

Operasi yang berakhir pada jam 3 pagi itu disertai 126 pegawai dan anggota polis pelbagai pasukan.

Berita Harian X