Ahad, 18 September 2016 | 10:47am

Golf MYFutures Junior Tour capai sasaran


MUSIM pertama saingan golf MYFutures Junior Tour berakhir semalam. - Foto FB MyFutures Junior Tour

KUALA LUMPUR: Musim pertama saingan golf MYFutures Junior Tour berakhir semalam dengan penganjuran Pertandingan Juara-Juara Koh & I di di Templer Park Country Club yang disertai 60 pemain elit muda.

Yong Fatt Hoe yang mendahului kedudukan divisyen biru lelaki berjaya menjulang Trofi Memori Abu Kadir menerusi empat kemenangan pada saingan pusingan awal selain menjuarai Pertandingan Juara-Juara.

Bagi Anugerah Danny Chia yang dinamakan sempena pemain nombor satu negara yang beraksi di Sukan Olimpik Rio, menjadi milik Farhan Fikri selepas menjuarai divisyen putih lelaki.

Zulaikah Nurziana Nasser pula menjadi penerima pertama Lim Siew Ai Salver selepas memenangi dua kejuaraan pusingan awal selain grand final bagi divisyen putih wanita.

Foong Zi Yu menerima Founders Bowl selepas memenangi Pertandingan Juara-Juara

bagi divisyen merah perempuan.

Pengerusi MYFutures Junior Tour, Ahmad Fauzi Ghazali melahirkan rasa puas hati dengan kejayaan jelajah itu yang bertujuan mencungkil bakat baharu pada tahun pertama penubuhannya.

"Pada akhirnya, saya sifatkan ia sebagai musim yang sukar dan mencabar.

"Kegembiraan terbesar adalah untuk melihat juara muda ini membesar dan menjadi contoh sekali gus menjadi penyumbang kepada pembangunan sukan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling berkata sokongan kepada MYFutures Junior Tour adalah satu daripada inisiatif yang disusun pihaknya sebagai sebahagian daripada komitmen membangunkan sukan golf di kalangan pemain muda.

Berita Harian X