Ahad, 18 September 2016 | 12:41pm

Raja Afiq masih kekasih saya - Anis Al-Idrus


PELAKON, Anis Al-Idrus dan Raja Afiq. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon Anis Al-Idrus menegaskan dakwaan beliau dan Raja Afiq sudah berpisah seperti disebarkan pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini adalah fitnah semata-mata.

Anis atau nama penuhnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 28, mengakui terkejut apabila perkara itu dijadikan bahan gosip sedangkan mereka masih lagi pasangan kekasih.

"Cerita (putus) itu tidak benar. Terkejut dibuatnya. Saya baru saja pulang dari kampung di Kelantan bersempena dengan cuti Raya Haji, tiba-tiba timbul pula khabar angin seperti ini.

"Itu semua fitnah. Saya hairan siapa yang menyampaikan cerita yang tidak betul itu. Mungkin ada pihak yang tidak senang dengan perhubungan kami. Cuma yang saya tahu, pengikut Instagram saya sering bertanya kenapa saya tidak memuat naik gambar sejak dua hari lalu," katanya kepada BH Online.

Anis mengulas dakwaan kononnya hubungan cinta beliau dan Raja Afiq ibarat retak menanti belah.

Sebelum ini, Raja Afiq, menerusi sebuah protal, menegaskan faktor kesibukan kerja dan kurang berjumpa Anis menjadi punca perhubungan mereka dikatakan sudah berakhir.

Anis juga berharap tiada lagi isu seperti itu dibangkitkan kerana menganggap ia sebagai satu doa yang tidak baik.

"Janganlah bersangka kurang elok atau mendoakan yang buruk. Saya harap jangan diperbesarkan cerita tidak benar ini mahu pun membangkitkan isu yang tiada," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anis baru saja menyudahkan penggambaran telefile D'Kayangan, terbitan Pensil Pictures dan bakal mengendalikan sebuah program realiti bulan depan.

Anis juga akan melancarkan produk kecantikan di bawah syarikat miliknya Anisse Beauty iaitu Annisse Pearl Skin dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X