Ahad, 18 September 2016 | 7:21pm

Koperasi bantu anggota tebus tanah tergadai - ANGKASA

PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (duduk empat dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta Lab Pemantapan Konsortium Koperasi Tanaman Padi Kedah/Perlis di MyAngkasa Akademi & Resort, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (duduk empat dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta Lab Pemantapan Konsortium Koperasi Tanaman Padi Kedah/Perlis di MyAngkasa Akademi & Resort, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Sebanyak 28 hektar tanah sawah milik petani di Perlis dan Kedah yang digadaikan kepada pihak tertentu berjaya ditebus semula menerusi pembiayaan koperasi sebanyak RM300,000 dalam tempoh lima tahun lalu.

   Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata langkah pengambilalihan semula aset berharga petani itu dilakukan oleh dua konsortium koperasi, sekali gus menjadi contoh kepada koperasi lain di negara ini.

  "Konsortium Koperasi Tanaman Padi Kedah Berhad dan Konsortium Koperasi Tanaman Padi Perlis Berhad (KKTPKB) adalah dua koperasi yang berjaya menebus semula tanah sawah milik petani yang dalam gadaian dan hampir terlepas ke tangan orang lain.

  "Selepas penubuhan kedua-dua konsortium itu lima tahun lalu, ini adalah kejayaan besar mereka. Pendekatan yang dilakukan di utara Semenanjung itu bakal diperluaskan ke seluruh negara kerana ia memberi manfaat yang besar kepada ahli koperasi," katanya.

  Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Lab Pemantapan Konsortium Koperasi Tanaman Padi Kedah/Perlis di MyAngkasa Akademi & Resort, di sini, hari ini.

   Abdul Fattah berkata, fungsi seperti ini boleh diperbesarkan menerusi penambahan peruntukan kepada konsortium koperasi sedia ada sekali gus boleh diperluaskan kepada kira-kira 12,000 koperasi lain di seluruh negara.

   "Dalam hal ini komuniti di luar bandar yang menghadapi masalah tanah sawah, kelapa sawit dan kebun yang hampir tergadai boleh mengambil peluang ini untuk berunding dengan koperasi bagi memastikan aset mereka tidak terlepas ke tangan orang lain," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X