Isnin, 19 September 2016 | 12:08am
DARI kiri; Razi Baharudin, Dian P Ramlee, Nazim Othman; Pengurus Saluran Astro Prima, Farah Zainul, Fasha Sandha, Jasmin Hamid dan Datuk Eizlan Yusof di sidang akhbar drama Lara Aishah di Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
JASMIN tidak pernah hilang pesona setiap kali muncul dalam drama atau projek telefilem. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
JASMIN mula berlakon pada usia 17 tahun. - Foto Instagram

Jasmin Hamid tak kisah gelaran 'Datin Skrin'


KUALA LUMPUR: Bertahan lebih dua dekad dalam dunia seni, pelakon Jasmin Hamid, 43, tidak pernah hilang pesona setiap kali muncul dalam drama atau projek telefilem.

Mengumpan peminat sendiri, Jasmin cukup disayangi dengan karakter di luar skrin yang bersahaja, mudah mesra dan lucu baik dari zaman anak dara sehinggalah sekarang.

Bagi kelompok generasi muda atau yang baru mengenali Jasmin, aktres ini cukup sinonim dengan watak wanita kaya termasuk berstatus Datin atau dalam istilah umum, 'Mak Datin'.

Bagai kena dengan usia dan fizikal tubuhnya yang lampai, jelita dan petah berkata-kata, karakter 'Mak Datin' mampu dihayati Jasmin sehingga ada kalanya peminat jadi meluat melihat lakonannya.

Mendekati Jasmin yang mula berlakon pada usia 17 tahun, aktres jelita ini sedar kebanyakan watak yang dibawa adalah wanita kaya dan berstatus Datin.


JASMIN cukup sinonim dengan watak wanita kaya termasuk berstatus Datin atau dalam istilah umum, '˜Mak Datin'€™. - Foto Instagram

Jasmin atau nama sebenarnya, Jasmiah Abdul Hamid memberitahu, dia selesa membawa watak seumpama itu.

Menurutnya, watak perempuan kaya dan berharta memberi cabaran baginya mencari identiti dan personaliti watak yang dilakonkan.

"Dalam industri seni tempatan, watak 'Datuk' dan 'Datin' sudah menjadi klise. Asalkan orang kaya, mesti perlu ada gelaran.

"Apabila bertanya kepada penonton apakah watak seperti itu atau cerita perbandingan orang kaya dan miskin yang dimahukan, mereka beritahu mereka tonton apa saja yang dihidangkan di televisyen (TV).

"Saya tiada pilihan tetapi tidak bermakna watak yang sering dibawa itu stereotaip. Walaupun mendapat watak orang kaya, saya pastikan jiwa dan personaliti yang dilakonkan pada setiap karya baik drama atau filem adalah berbeza," katanya.

Buat kajian watak


JASMIN atau nama sebenarnya, Jasmiah Abdul Hamid. - Foto Instagram

Tambah Jasmin lagi, dia sering membuat kajian watak agar penonton tidak bosan dengan lakonannya.

Malah, akui Jasmin, dia berbincang dengan pengarah mengenai emosi dan jiwa karakter yang hendak dibawa. Baginya, perkara itu penting agar karektor dihidupkan memberi impak yang kuat biarpun sekadar watak wanita kaya.

"Dalam Malaysia, kita ada beribu-ribu wanita kaya. Tidak kiralah sama ada mempunyai gelaran Datin atau tidak. Takkan personaliti mereka semuanya sama?

"Ada yang sebelum makan, lap sudu dulu. Ada yang duduk bersilang kaki dan ada yang bersikap sederhana. Jadi, tiada masalah dengan watak sama asalkan lakonan yang diberi itu berbeza," katanya.

Drama tempatan kurang nilai moral


JASMIN menyifatkan drama tempatan sejak akhir-akhir ini makin kurang nilai moral. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sesuai dengan pengalaman dan pengetahuan mendalam mengenai industri, Jasmin menyifatkan drama tempatan sejak akhir-akhir ini makin kurang nilai moral.

Jasmin berkata, senario itu menyebabkan penonton hanya menyaksikan karya kosong tanpa mendapat ilmu moral dalam penceritaan.

"Saya tak tahu kenapa susah betul hendak mendapatkan drama yang mempunyai nilai moral.

"Kita sebagai penggiat seni sepatutnya peka mengenai perkara ini. Setiap karya yang dihasilkan perlu memberi manfaat kepada penonton," katanya.

Dalam perkembangan lain, lakonan Jasmin boleh ditonton menerusi drama bersiri Lara Aishah yang ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Prima.

Drama terbitan Global Station itu adalah karya adaptasi dari telenovela Mexico, La Loba yang diterbitkan pada tahun 2010.

Selain Jasmin, Nazim Othman, Shah Jaszle, Ainul Aishah, Liza Abdullah, Janet Khoo, Sasqia Dahuri, Zamarul Hisham, Wati Elite dan Maria Farida turut membintangi drama berkenaan.

Berita Harian X