Isnin, 19 September 2016 | 7:09am

Ada lagi isu terlepas pandang

PENGAMAL undang-undang dan bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dalam tempoh lebih 50 tahun sejak Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dikuatkuasakan pada 13 Oktober 1960, ia sudah dipinda beberapa kali.

Antara pindaan dilaksanakan sebelum ini, Akta A575 (dikuatkuasakan pada 20 Januari 1984) dan Akta A999 (dikuatkuasakan pada 1 Februari 1998) adalah dua pindaan APT yang amat penting. Ia dilakukan demi menjaga kebajikan dan kepentingan pemilik tanah.

Matlamat utama Akta A575 pada 1984 itu adalah bagi mengatasi masalah kelambatan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah yang kehilangan harta mereka selepas diambil oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah APT. Di bawah pindaan itu, semua proses pengambilan tanah mesti selesai dan pampasan mesti dibayar kepada pemilik tanah dalam tempoh tiga tahun. Jika Pentadbir Tanah gagal berbuat demikian, pengambilan tanah itu boleh diisytiharkan tidak sah dan batal oleh mahkamah.

Matlamat utama Akta A999 pada 1998 pula adalah menetapkan satu prosedur baharu bagi pengambilan tanah yang dibuat di bawah seksyen 3(1)(b) dan (c), iaitu pengambilan tanah bagi maksud pembangunan ekonomi dan bagi maksud perlombongan, kediaman, pertanian, komersial, perusahaan atau rekreasi atau mana-mana kombinasi maksud itu.

Di bawah prosedur terperinci baharu yang digariskan di bawah seksyen 3A, 3B, 3C, 3D, 3E, banyak tindakan tertentu yang mesti dilakukan oleh pihak berkenaan sebelum tanah milik rakyat boleh diambil bagi maksud selain daripada maksud awam (public purpose) di bawah seksyen 3(1)(a). Secara mudah, maksud utama pindaan Akta A999 adalah mengatasi penyalahgunaan kuasa yang pernah berlaku sebelum pindaan ini dilakukan.

Bidang kuasa negeri

Terbaru, APT dipinda sekali lagi pada tahun ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) mengenainya diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 24 Mei 2016, selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen dan diluluskan tanpa pindaan. Seperti biasa, RUU ini perlu diluluskan oleh Dewan Negara dan akhir sekali diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, terserah kepada budi bicara Pihak Berkuasa Negeri masing-masing menentukan bila pindaan terbaharu ini akan dikuatkuasakan, kerana 'hal perkara tanah' adalah dalam bidang kuasa negeri.

Antara pindaan APT kali ini yang memberi kesan langsung kepada pemilik tanah adalah pengurangan caj bayaran lewat. Mengikut seksyen 32, caj yang dikenakan adalah lapan peratus setahun ke atas jumlah yang belum dibayar kepada pemilik tanah sehingga bayaran ditunaikan sepenuhnya. Di bawah pindaan terbaru, jumlah ini diturunkan kepada lima peratus setahun. Pindaan ini nyata menjimatkan kos kerajaan, tetapi kesannya kepada pemilik tanah bukan sesuatu yang menggembirakan mereka.

Di bawah seksyen 37 yang ada sekarang, andainya ada pemilik tanah yang terkilan dengan jumlah pampasan diberi oleh Pentadbir Tanah, dia boleh memohon kepada mahkamah dengan harapan mahkamah kemudian boleh menentukan jumlah pampasan yang lebih tinggi. Pemohon boleh berbuat demikian hanya sekiranya pemberian pampasan oleh Pentadbir Tanah itu melebihi RM15,000. Di bawah pindaan terbaharu 2016, jumlah itu dinaikkan kepada RM30,000. Ini bermakna sekiranya selepas ini ada pemilik tanah yang diberi pampasan tidak melebihi jumlah itu, dia tidak berhak merujuk kesnya ke mahkamah.

Satu pembaharuan dilakukan kepada APT kali ini adalah memberi tafsiran baharu kepada istilah scheduled land (tanah berjadual) dalam seksyen 2. Akibat pindaan terbaharu ini, APT kini terpakai kepada pengambilan petak (parcel) dalam bangunan bertingkat. Pindaan ini selaras pindaan dilakukan dalam Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Hakmilik Strata 1985, demi menjaga kepentingan pemilik harta strata.

Seksyen 7 APT, yang menggariskan kerja Pentadbir Tanah (menyediakan pelan dan senarai tanah yang hendak diambil), diperkemas lagi bagi mengambil kira situasi di mana pengambilan membabitkan tanah bawah tanah (underground land). Di bawah subseksyen (2) yang ditambah kepada seksyen 7 sedia ada, Pentadbir Tanah dikehendaki menyediakan pelan terperinci dimensi dan keluasan tanah bawah tanah yang diambil.

Isu 'maksud pengambilan tanah'

Sambil kita mengalu-alukan usaha kerajaan memperbaharui dan menambah baik APT sedia ada, namun ada beberapa isu lain yang seakan terlepas pandang atau tidak diberi pertimbangan, antaranya isu 'maksud pengambilan tanah' yang tidak dilaksanakan atau dilupakan begitu sahaja.

Dalam kes Tengku Anoomshah bt Tengku Zainal Abidin lwn Collector of Land Revenue North East District [1995] 2 AMR 1509, tanah plaintif diambil pada 1953 bagi maksud projek perumahan. Puluhan tahun berlalu, tetapi maksud pengambilan itu tidak dilaksanakan. Akhirnya plaintif membawa kesnya ke mahkamah. Dia mohon agar mahkamah isytiharkan pengambilan tanah itu tidak sah dan batal kerana maksud pengambilan asal tidak ditunaikan.

Mahkamah memutuskan tidak ada peruntukan khusus dalam undang-undang (iaitu Ordinan Pengambilan Tanah Negeri-Negeri Selat Bab 128 dan juga APT sekarang) yang membolehkan mahkamah berbuat demikian. Kesimpulannya, pengambilan tanah plaintif pada 1953 itu masih sah dan tidak boleh diisytiharkan batal, kerana tidak ada peruntukan khusus mengenai isu ini.

Dalam satu lagi kes lama, S Kulasingam v Commissioner of Lands, Federal Territory [1982]1 MLJ 204, Hakim Abdoolcader menjelaskan bahawa di bawah APT kita tidak ada prosedur pre-acquisition hearing yang mewajibkan satu pendengaran khas dijalankan sebelum tindakan awalan diambil di bawah APT. Hakim itu menyatakan lagi APT negara kita dipadankan kepada Akta Pengambilan Tanah India 1894, yang mana kemudian dipinda oleh negara itu pada 1923 untuk memasukkan prosedur sedemikian itu, tetapi APT kita tidak ikut sama.

Bagi pengamal undang-undang yang arif dalam undang-undang pengambilan tanah, mereka tahu betapa pentingnya prosedur 'pendengaran pra-pengambilan' ini. Antaranya ia boleh mengelak kes pengambilan tanah yang kemudian disedari sebenarnya tidak sesuai bagi maksud pengambilan. Prosedur sedemikian itu sudah lama wujud di negara asing (selain

Penulis ialah Pengamal undang-undang dan bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X