Isnin, 19 September 2016 | 11:27am
BATIK yang dihasilkan oleh pelajar UMK sempena Program Perasmian Muzium Texfas (Textile Fashion) di UMK kampus Bachok. - Foto Faris Zainuldin

UMK beri anugerah kepada lima penggiat batik Malaysia

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganugerahkan Tokoh Batik 2016 kepada lima individu yang bergiat aktif dalam perusahaan dan pemuliharaan warisan dalam seni kraf batik di negara ini.

Tokoh terbabit ialah Wan Marina Awang Masbak diiktiraf sebagai Tokoh Usahawan Batik, Wan Mohd Affendi Wan Mohd Ariffin sebagai Tokoh Usahawan Muda Batik, Ab Aziz Awang sebagai Tokoh Kesenian Batik, Kamarozzaman Mohd Salleh sebagai Tokoh Warisan Batik, dan Datuk Leela Mohd Ali sebagai Tokoh Pejuang Batik.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, menyampaikan anugerah itu pada majlis Anugerah Tokoh Batik 2016 di sini, malam tadi.

UMK turut meraikan empat individu kreatif yang berjaya dalam penyertaan pertandingan Lukisan Batik Tulen yang diadakan sempena Minggu Fiesta Batik Malaysia yang berlangsung pada 14 hingga 20 September di sini.

Ketika berucap pada majlis itu, Hamad Kama Piah berkata, anugerah Tokoh Batik itu adalah sebagai tanda komitmen universiti itu untuk menjamin kelestarian seni batik sebagai satu warisan bangsa Malaysia dan yang lebih penting ialah membangunkan industri batik tempatan ke tahap yang lebih membanggakan.

Beliau berkata, UMK sebagai universiti keusahawanan yang menjadikan bidang warisan seperti seni kraf batik dan industri batik sebagai satu daripada fokus adalah sangat tepat.

"Banyak program yang boleh dijalankan oleh pihak universiti dengan kerjasama agensi yang berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan persatuan batik untuk memartabatkan prestasi dan reputasi batik tempatan.

"Seni warisan batik ini adalah satu warisan bangsa yang kaya dengan nilai-nilai estetikanya yang tersendiri," katanya.

Beliau berkata pada hari ini, prestasi industri batik di negara ini kelihatan statik dan masih belum berjaya berdiri dengan teguh di peringkat antarabangsa.

"Industri batik negara tidak terlepas daripada cabaran masa kini seperti persaingan globalisasi, evolusi teknologi dan media sosial serta kehendak generasi baru yang semakin canggih malah inilah antara isu sebenar yang memberi cabaran hebat kepada seluruh rantaian nilai industri batik negara," katanya.

Sesuai dengan penganjuran Minggu Fiesta Batik sempena Tahun Melawat Kelantan 2016, beliau percaya batik bakal menjadi sesuatu yang boleh ditawarkan kepada pengunjung sebagai produk pakaian, hiasan dan barangan cenderahati.

"Pada fiesta ini juga usahawan dan penggiat batik bersama ahli akademik boleh bertukar pengetahuan, pengalaman serta mencari peluang kerjasama untuk pembangunan industri batik tempatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X