Isnin, 19 September 2016 | 11:38am

Kastam Sabah rampas 62 kontena barang seludup RM2.5j


PADDY (tiga dari kiri) menunjuk barang rampasan pada sidang media di Wisma Kastam, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melumpuhkan sindiket penyeludupan minuman keras, rokok, beras dan tayar selepas merampas 62 kontena memuatkan barangan terbabit dianggarkan bernilai keseluruhan RM2.5 juta.

Penolong Pengarah Penguatkuasa (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Paddy Abd Halim, berkata rampasan di Pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini adalah yang terbesar di Sabah tahun ini.

Katanya, ia membabitkan 853,776 liter minuman keras, 11 juta batang rokok, 25,000 kilogram beras dan 11,000 tayar kereta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dengan menggunakan 62 kontena berkenaan.

"Semua barangan itu dirampas dalam serbuan bermula 12 hingga 14 September lalu. Keseluruhan rampasan membabitkan cukai sebanyak RM37.14 juta," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Paddy berkata, rampasan itu juga adalah perolehan terbesar daripada pengurusan dan analisis risiko menggunakan konsep Penyelarasan Pengurusan Sempadan (CBM), iaitu pemeriksaan teliti proses membawa masuk barangan di pelabuhan.  

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Berita Harian X